Dreamers

Sunday 25 August 2013

ghost's diary...(episode three)


Hidup ini aku nan memilihnya...
"Benarkah ini yang dikatakan takdir atau mungkinkah ini satu sumpahan ?" Kata-kata itu pernah bermain-main di benak fikiranku. Dulu, ianya datang sekali-sekala. Namun, sejak kebelakangan ini ianya makin kerap bertamu di fikiran. Andai ini yang dinamakan takdir, maka aku pasrah menerimanya. Tidak sekali-kali aku menyesal akan ketentuan Tuhan kerana aku yakin, setiap sesuatu dari Dia itu pasti punya hikmah nan tersendiri. Namun, di ketika yang lain aku berasa bahawa perjalanan hidupku ini seumpama sebuah sumpahan.

         Siang dan malamku, aku jalani hidup ini sendirian tanpa sesiapa pun peduli akan kehadiran aku. Tiap kali aku di jalanan, beribu wajah yang aku temui. Namun, tiada siapa yang aku kenali. Ramai yang langsung tidak endah, andai ada pun hanyalah sekadar mengerling tanpa ada sepatah kata. Jika ada antara ribuan mereka itu, insan yang aku kenali; itu pun sekadar senyum dan berlalu sepi. Dari celik mataku menyambut kehadiran hari baru, sehinggalah mataku terpejam kembali menghantar malam; aku tetap sendirian.  Lantas aku bertanya lagi akan persoalan nan serupa, "Benarkah ini yang dikatakan takdir atau mungkinkah ini satu sumpahan ?"
         Hidup aku ini ada saatnya kurasakan seumpama sebuah kisah dongeng. Fiksi. Hah! Kisah aku seorang hantu halimunan. Sukar bagi manusia biasa menerima ini sebagai norma. Namun, itulah hakikatnya. Itulah aku...Hantu halimunan. Di mana aku ingin mulakan tentang kisah hidupku ? Mmmmm...
          Lahirnya aku ke dunia ini sama seperti mana-mana kelahiran anak adam. Tiada apa yang pelik lagi membezakan. Namun, menurut kata ibuku ada sesuatu yang aneh berlaku pada bidan Diah, bidan yang menyambut kelahiranku. Kata ibuku, jarang sekali bidan Diah beredar pulang sepantas itu. Malah, bidan Siah pulang begitu saja tanpa sepatah kata. Kebiasaannya, bidan Diah akan membersihkan bayi dan berlama-lama bersembang di serambi rumah sebelum pulang.
         Kata ibuku, agak lama bidan Diah jatuh sakit selepas itu. Sakitnya yang membuatkan dia sekadar terlantar dan tidak mampu menyambut mana-mana kelahiran bayi lagi. Sehinggalah beberapa tahun kemudiannya, bidan Diah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kalau tidak silap aku, ketika itu aku berumur 6 tahun. Aku masih ingat, ketika aku melepasi rumah bidan Diah pada suatu petang, tiba-tiba saja dia menjerit seperti dirasuk. Aku yang terdengar jeritan itu pantas melarikan diri. Beberapa minggu selepas itulah, dia pergi.
         Setelah aku meningkat remaja, ketika ibuku pula mula sakit-sakit, ibu membuka rahsia tentang misteri di sebalik kelahiran aku. Kata ibu, bidan Diah punya banyak firasat. Mungkin kebetulan, kebanyakan firasatnya menjadi kenyataan. Pernah dia menyatakan pada ibu Ahmadi, anak lelakinya itu akan bergelar doktor suatu hari nanti. Ternyata benar bila kemudiannya Ahmadi menjadi doktor. Begitu juga dengan Asyura, gadis itu katanya bakal menjadi isteri kepada orang ternama. Ternyata, firasat bidan Diah benar jua. Begitu juga dengan beberapa bayi yang disambut kelahirannya oleh bidan Diah.
         Namun, tidak dengan diriku. Bidan Diah seolah-olah terkocoh-kocoh meninggalkan rumahku sejurus aku dilahirkan. Malah, bidan Diah kelihatan pucat, lemah dan berlalu tanpa sebarang kata. Kata ibu kemudiannya, bidan Diah ketika sedang nazak sempat berbisik kepada ibu. Dia meminta ibuku menjaga aku dengan baik kerana aku dikatakan akan menjalani hidup yang sukar ditafsirkan. Kata bidan Diah lagi, dia gagal melihat masa depan ku. Katanya, fikiranku seumpama ditutup kelambu hitam. Terselindung. Dan katanya lagi, ada bayangan hitam yang menemani aku dan bayangan itu melindungi aku selalu. Dalam erti kata lain, aku ditemani sesuatu nan tidak baik.
          Aku ketika itu tidak mengerti apa yang dikatakan oleh bidan Diah itu. Malah, kata ibu lagi, sebelum bidan Diah meninggal dunia dia telah bersumpah bahawa aku tidak akan temui kebahgiaan dalam hidupku. Benarkah ? Kini, aku seakan hampir terjatuh dalam tafsiran itu. Namun, selalu aku kembali mengingatkan bahawa segala yang berlaku dalam hidup ini adalah suatu kebetulan.
 
          Benarkah ?
          Andai aku soroti apa yang aku lalui sejak dahulu sehinggalah ke saat ini, sememangnya aku hidup seumpama hantu. Aku wujud! Namun, tak sesiapa yang menyedari kewujudan aku itu. Entah mengapa, manusia di sekeliling aku selalu tidak mengendahkan tentang diriku. Tiada siapa yang ingin mendengar apa yang ada dalam fikiran dan hati aku. Malah mereka langsung tidak tahu bagaimana untuk menghargai kehadiran aku, apalagi untuk menghormati diri aku.
         Lantas aku mengasingkan diri dalam duniaku sendiri. Aku menjalani hidupku tanpa mengganggu kehidupan orang lain. Namun, manusia tetap manusia. Hati manusia yang sukar untuk dimengertikan. Hati manusia yang tamak dengan nafsu. Lantas mereka menghukum aku dengan mengasingkan aku dengan seribu satu kecanggungan. Saat itulah, aku berasa bahawa takdir tidak pernah menyebelahi aku. Dan kemudiannya, aku menjadi manusia nan berdosa bila aku menyalahkan takdir.
          Akhirnya, kerakusan manusia membuatkan aku terkorban dalam satu tragedi yang tidak bernama. Lantas kemudiannya aku hidup dalam dunia nan berbeza. Setiap yang aku lakukan, manusia di sekelilingku tidak bisa mengetahuinya. Suara dan kata-kataku, tidak bisa mereka dengari. Hati dan perasaanku, tidak bisa mereka mengerti. Lantas aku hidup dalam duniaku yang tersendiri. Ada ketikanya, aku sendiri tidak dapat membezakan antara realiti dan fantasi, antara kebenaran dan fiksi, serta antara hidup dan mati.
           Nan pasti, saat mataku terbuka menerima kehadiran hari baru, aku kedinginan sendirian. Di setiap sudut rumahku, hanya ada aku dan bayangan aku sendiri. Bila aku melangkah keluar dari rumah, aku senantiasa sepi dalam keriuhan manusia di sekelilingku. Rakan-rakanku, hanya emosiku sendiri. Ketawa, menangis, marah...semuanya sendiri. Bila pulang ke rumah, tiada siapa yang menyambut kepulanganku. Dan kemudiannya, aku kembali ke peraduan menemani malam yang tidak bisa memahami akan erti kesepian dan kesunyian.
            Biar pun begitu, aku telah terima kehidupan ini. Aku sedar, siapa diri ini...Memedi!
 


No comments:

Post a Comment