Dreamers

Sunday 29 September 2013

Casa Divina : The First Project


Casa Divina. Satu ruangan baru dalam blog 'The Dreams Trader'. Menerusi ruangan ini babyblve akan menawarkan hasil kerja babyblve dalam seni menghias ruang beserta dengan tips, kreativiti dan idea luar biasa. Apa maksud di sebalik casa divina ? Rangkai kata ini merupakan rangkai kata dalam bahasa Sepanyol yang bermaksud 'rumah syurga'. So, lets enjoy....!!!






Projek pertama babyblve adalah mendekorasi bilik guru di salah sebuah sekolah di kawasan pedalaman. Pengetua sekolah tersebut merupakan seorang pengetua yang berjiwa besar dan bercitarasa tinggi. Menurut kata beliau, bilik guru di sekolah itu kurang menarik dan tidak tersusun. Beliau inginkan suasana tempat kerja yang selesa, kemas dan menarik buat warga pendidik di sekolah beliau. Hasil perbincangan pertama bersama beliau, babyblve mula merangka konsep dan lakaran kasar dekorasi bilik guru sekolah itu. Berlandaskan citarasa beliau yang agak tinggi, babyblve mencipta suasana bilik guru berinspirasikan pusat peranginan dan hotel. Beberapa hari kemudian, babyblve membuat pembentangan konsep di hadapan pengetua sekolah tersebut. Ternyata beliau sangat kagum dengan idea tersebut dan teruja untuk melihat hasilnya. Babyblve ketika itu meski pun agak berasa gementar tetapi babyblve menyahut cabaran itu dengan niat untuk mencuba kreativiti dan bakat yang babyblve ada.


Langkah pertama babyblve lakukan adalah memilih warna dinding bilik guru tersebut. Hasil perbincangan dengan rakan-rakan akhirnya babyblve memilih warna segar berinspirasikan citrus; hijau limau purut dan kuning lemon. Warna hijau limau purut melatari hampir keseluruhan dinding kamar pendita tersebut manakala warna kuning lemon untuk bahagian atas antara dinding dan siling bertemu. Warna citrus ini bukan saja memberi ketenangan buat warga sekolah itu bertugas dan berehat tetapi juga menyejukkan mata memandang.
 
Selepas selesai memilih warna dinding, tugasan paling berat dan mencabar menanti. Menyusun atur semula perabot dan menyah buangkan benda-benda yang tidak perlu. Namun, hasil bantuan guru-guru di sekolah tersebut, semua benda-benda yang tidak perlu di kamar pendita itu berjaya disisihkan. Ada yang dibuang terus, ada yang dikitar semula dan ada juga yang dibuat penstoran baru. Kemudian, susun atur perabot pula bermula. Fokus dan cabaran utama adalah menyusun atur kedudukan meja guru. Ruang kamar pendeta agak terhad dan jumlah guru agak ramai. Namun, akhirnya babyblve berjaya aturkan kedudukan meja secara tiga serangkai. Awesome. Babyblve memilih kedudukan meja sebegini setelah mengambil kira laluan di kamar itu dan penstoran barang-barang peribadi guru-guru. Sejurus semuanya selesai, kerja-kerja mengecat pula bermula.
 
 
 
Secara asasnya, kamar pendeta ini babyblve bahagikan kepada beberapa bahagian. Pertama, ruang meja guru-guru, ruang santai guru-guru, ruang pembahagi antara kamar pendita dan bilik ketua bidang serta papan kenyataan. Setelah selesai kerja-kerja mengecat dan menyusun atur meja guru-guru,  babyblve mula mendekorasi ruang santai guru-guru. Apa yang ada pada ketika itu hanyalah set kerusi sofa 50an yang menggunakan kusyen berpasangan. Di sudut itu jua ditempatkan sebuah peti sejuk dan sebuah sinki siap pasang di sudut tepi bersebelahan ruang santai tersebut. Sofa itu juga disusun bersebelahan bilik setiausaha peperiksaan yang dilatari cermin pandang telus gelap. Paling mencabar adalah para besi yang dipasang di bahagian atas ruang santai tersebut.
 
 

 
Bagi mendekorasi ruang santai guru-guru, pantas babyblve tergambarkan lobi hotel dan pusat peranginan. Secara tiba-tiba tercetus idea gila-gila untuk menggabungkan dua set sarung kusyen. Satu set bewarna cerah dengan corak geometri yang tampil moden, manakala satu set lagi agak klasik dengan warna polos hijau kulit pisang. Material kedua-duanya jua berbeza. Set kuning cair itu diperbuat dari kain kapas manakala yang hijau polos dari material baldu. Ternyata eksperimentasi ini sukses bila ramai yang memuji keserasian padanan kedua-dua set sarung kusyen tersebut.
 
 
Agak bertuah juga apabila dinding bilik setiausaha peperiksaan tersebut diperbuat dari papan lapis berira kayu. Untuk mewujudkan suasana tradisional, babyblve padankan dengan tirai buluh yang bewarna kekuningan. Tampak serasi. Namun, ruang itu masih sedikit terganggu dengan kehadiran palang para besi di bahagian atasnya. Bagi mengatasi perkara tersebut, timbul idea untuk menggantungkan angklong dan bubu mini. Ternyata, kehadiran hiasan tersebut menimbulkan suasana desa yang lebih lembut. Malah, ada yang mencadangkan agar dipasangkan mentol di dalam kedua-dua bubu mini tersebut. Namun, idea itu tidak dilaksanakan kerana dari segi fungsinya yang kurang memberi impak.
 
 
 
Tidak lengkap kiranya, set sofa tanpa meja kopi. Namun, meja kopi juga tidak seharusnya dibiarkan kosong. Bagi menepati konsep tradisional tersebut, babyblve bercadang menampilkan beberapa hiasan tradisional Melayu seperti congkak, kain batik Kelantan dan raga buluh. Seorang guru di sekolah tersebut dengan berbesar hati memberikan sumbangan ikhlas berbentuk papan congkak dan kain batik Kelantan milik beliau. Sumbangan dan budi beliau tak mungkin babyblve lupakan. ( Ketika aku menulis ini, guru tersebut iaitu Allahyarham Junaidi telah kembali ke rahmatullah. Al- Fatihah ). Bagi melengkapkan gaya tersebut, babyblve jadikan tikar buluh sebagai hiasan lantai.
 
 
Selesai sudah babyblve menghias ruang santai, seterusnya babyblve beralih ke bilik ketua bidang. Bilik ini agak luas dan hanya menempatkan empat orang guru ketua bidang. Setiap meja ketua bidang babyblve berikan lapik meja yang berbeza warna tetapi dari corak yang sama. Polka dot. Hahaha...Tampak ceria lapik meja mereka. Begitu jua dengan permaidani mini yang menjadi alas kaki mereka. Berbeza corak dan warna. Corak pilihan sudah semestinya corak geometri. Ternyata tampak serasi.

 Bilik ketua bidang tersebut agak luas, lantaran itu timbul idea untuk menempatkan meja mesyuarat di mana semua mesyuarat bidang akan berlangsung di bilik ini. Bagi mewujudkan keserasian, lapik meja diberi warna dari ton yang sama iaitu warna hijau. Di bahagian bawahnya, babyblve memilih tikar buluh yang mempunyai corak moden dan tampak istimewa. Selain berfungsi sebagai lapik kaki, tikar buluh tersebut jua membuatkan meja mesyuarat tersebut sukar untuk berkalih kerana lantai marmar di bilik tersebut agak licin. Sebagai pelengkap gaya, babyblve memilih hiasan bekas lilin dan menjadikan bubu mini sebagai terendaknya. Lilin ini mempunyai aroma yang menenangkan. Khas untuk meja ini, babyblve menghasilkan satu gubahan ringkas sebagai titik tumpu.
 
Selesai mendekorasi kedua-dua ruang utama kamar pendita tersebut, babyblve beralih ke RUANG TITIK TUMPU iaitu ruang pembahagi yang terletak di antara bilik ketua bidang dan bilik guru. Dari awal lagi, babyblve ingin mewujudkan ruang seumpama ruang masuk ( entrance ) hotel atau pusat peranginan. Babyblve telah sedia memikirkan tentang sebuah meja bulat yang tampak klasik dengan hiasan bunga besar nusantara di atasnya. Ternyata, idea tersebut satu idea yang sangat menarik. Ramai yang jatuh cinta dengan ruang tersebut terutama tetamu dari luar. Menggubah bunga besar ini jua banyak meninggalkan kenangan manis apabila beberapa orang guru datang melihat bagaimana babyblve menggubah bunga dan berkongsi ilmu gubahan. :) Tidak lupa juga jasa seseorang yang sanggup menemani babyblve mencari meja bulat tersebut, membeli pasu besar dan ke Nilai 3 membeli bunga. Namun, sayang persahabatan itu terputus di tengah jalan dalam satu tragedi yang tidak disangka-sangka. Opppss..! Emo plak...hahaha...

 
Dalam mendekorasi kamar pendita ini, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa untuk menghasilkan sesuatu seumpama ini, babyblve telah meletakkan seluruh jiwa dan tenaga babyblve. Paling mencabar dan menagih banyak tenaga adalah mengubah wajah almari panjang yang usang kepada wajah baru yang sesuai dengan penampilan kamar pendita keseluruhannya. Percaya atau tidak, bukan mudah untuk melakukannya. Namun, apabila sudah melihat hasilnya, kesemua lelah itu hilang entah ke mana. Beberapa hari babyblve duduk sendirian di kamar pendita, mengecat almari panjang tersebut. Selesai mengecat kali pertama, babyblve menggosok permukaan yang dicat dengan kertas pasir. Kemudian, babyblve cat sekali lagi bagi mendapatkan permukaan tekstur yang licin. Malah, babyblve masih ingat bagaimana kerja mengecat tersebut terpaksa dihentikan kerana cuaca mendung dan hujan. Sebaik-baiknya, lakukan kerja-kerja mengecat dalam cuaca panas. Juga tidak babyblve lupa, bagaimana babyblve balik ke rumah lewat malam semata-mata untuk menyiapkan almari ini.
 
 
Satu lagi ruang yang menagih banyak masa untuk diselesaikan adalah papan kenyataan. Terdapat tiga buah papan kenyataan di kamar tersebut. Satu di bilik guru. Satu lagi di ruang pembahagi dan satu lagi di bilik ketua bidang. Papan kenyataan di bilik guru perlu dibahagikan kepada beberapa bahagian, manakala di ruang pembahagi pula papan kenyataan tersebut bertemakan tradisional melayu. Papan kenyataan di bilik ketua bidang pula diserahkan kepada ketua-ketua bidang untuk melengkapkannya. Babyblve hanya menyediakan asasnya sahaja.
 
Papan kenyataan di bilik guru.
Papan kenyataan di bahagian pembahagi ruang.
Papan kenyataan di bilik ketua bidang.
 
Setelah selesai kesemua kerja-kerja mendekorasi kamar pendeta tersebut, ada satu lagi ruang yang babyblve perlu beri tumpuan. Di hadapan bilik setiausaha peperiksaan terdapat sebuah meja yang menempatkan risalah dan interkom. Apa yang menarik adalah sehelai kain batik ela yang dijadikan sebagai titik tumpu. Kain batik itu disangkutkan pada cermin bilik setiausaha peperiksaan tersebut.
Ruang kecil di hadapan bilik setiausaha peperiksaan.
 
Kata orang, bunga itu penyeri suasana. Demi menambahkan seri kamar pendita, babyblve telah menggubah beberapa gubahan bunga. Bermula dengan gubahan bunga nusantara yang besar, sehinggalah ke deko pelengkap meja. Setiap satunya digubah mengikut keserasian paduan warna dan ruang ianya ditempatkan.
 
Gubahan bunga untuk meja mesyuarat di bilik ketua bidang.
A masterpiece...gubahan bunga besar nusantara
ala-ala di ruang masuk hotel.
Pemilihan warna bunga yang serasi membuatkan
gubahan ini tampak indah. Penyeri peti sejuk.
Gubahan bunga hijau segar sebagai penghias almari panjang.
Gubahan bunga bewarna kuning buat hiasan meja ketua bidang.
Satu lagi gubahan bunga hiasan meja ketua bidang. Warna oren.
Ringkas tetapi unik. Penghias sudut ruang
santai guru-guru.
 
YANG MENARIK...Terdapat beberapa benda menarik yang babyblve sisipkan dalam mendekorasi kamar pendita ini. Antaranya adalah seperti bubu mini, angklung, lilin dan begitu juga dengan pemilihan fabrik yang pelbagai sebagai lapik meja. Begitu juga dengan permaidani mini corak geometri.
Bubu mini menjadi hiasan gantung.
Angklong...bila ditiup angin, maka ia akan bernyanyi.
Salah satu corak kain lapik meja guru.
Kain corak batik untuk lapik almari kayu panjang.
  
Murah tetapi menarik. Permaidani mini corak geometri.
Satu lagi gaya bubu mini- Terendak lilin.

Setelah semuanya selesai, ternyata wajah kamar pendita itu tampil berbeza. Lebih kemas, tersusun dan indah mata memandang. Masih segar dalam ingatan, reaksi pengetua sekolah tersebut ketika kali pertama melihat perubahan besar terhadap kamar pendita itu. Dengan senyum yang tidak lekang dari bibir, beliau mengangkat ibu jari tanda bagus. Selepas itu, beliau menawarkan tugas dekorasi yang lain kepada babyblve dan selepas itu beliau tidak terlalu berkira dalam mengeluarkan belanja bagi dekorasi bilik yang lain. Meski pun lelah tetapi segalanya hilang bila diri rasa dihargai. Sememangnya beliau merupakan pengetua yang tahu hala tuju dan misi serta visi beliau. Terima kasih atas kepercayaan yang beliau telah berikan. Malah, selepas beliau berpindah, beliau telah membawa warga sekolah baru beliau untuk melihat hasil kerja babyblve. Tidak putus-putus beliau memuji dan memperkenalkan babyblve kepada rakan-rakan setugas beliau yang baru. Bagi babyblve itu adalah satu penghormatan kerana beliau tahu betapa sukarnya untuk mencanai berlian.
Keadaan bilik guru selepas mengalami transformasi. Tomey....hahaha....
Meja salah seorang guru di sekolah itu. Mmmmmmm....Kalau bilik kemas,
meja tak kemas pun tak boleyyy jugak kennnn? hahaha...
 
Biarpun begitu, jika salah langkahnya, maka akan canggunglah tariannya. Andai ingin memelihara sesuatu yang indah itu, kita sememangnya memerlukan pengorbanan. Keindahan memerlukan kerajinan untuk mengekalkannya. Namun, tidak semua bisa melakukannya. Ada orang yang bertindak mengikut logika dan untuk mencari jalan mudah sehingga melupakan nilai-nilai estetika yang sebenarnya perlu dalam mewujudkan ketenangan jiwa. Agak kecewa juga, apabila babyblve berhadapan dengan segelintir warga baru sekolah itu yang beranggapan dekorasi kamar pendita itu sekadar membuang masa. Malah, di hadapan babyblve mereka memberi komentar agak pedas tanpa mengetahui dengan siapa sebenarnya mereka berbicara. Apa yang terdetik dalam hati babyblve, maafkanlah mereka kerana mereka buta pada nilai keindahan dan lebih dari itu mereka sebenarnya seorang yang serba canggung dalam menjaga kebersihan dan suka mencari jalan mudah tetapi tidak mahu mengakui diri sebagai pemalas.
 
Bak kata pepatah, " Sekali air bah, sekali pasir berubah". Masa nan bergulir merubah segalanya. Pengetua dan warga sekolah tersebut silih berganti. Lain orang, lain citarasanya. Meski pun kesan keindahan kamar pendita itu semakin pudar, namun kenangan sewaktu menjadikannya satu realiti tidak mungkin dilupakan. Malah, babyblve percaya keindahan kamar ini akan terus menjadi sebutan di mulut warga sekolah itu yang pernah menikmati keindahan tersebut. Babyblve jua percaya, tidak ada sekolah lain yang memiliki bilik guru seindah itu.
 
Kini, segalanya itu tinggal sejarah. Babyblve ternyata berpuas hati dengan hasil kerja babyblve tanpa berasa letih dan tugas ini bukan menagih nama serta pujian semata-mata. Terlalu banyak ruang, masa, tenaga dan material yang dikorbankan. Mungkin ada segelintir teman-teman yang menyangkakan bahawa babyblve lakukan ini demi mengharapkan sesuatu tetapi terus-terang babyblve nyatakan bahawa babyblve lakukan ini kerana babyblve tahu bahawa babyblve bisa melakukannya dan tidak mahu Tuhan mengambil semula kelebihan itu. Malah, babyblve berasa gembira apabila dapat membantu orang lain dengan menggunakan kelebihan dan bakat yang diberi. Dan mungkin ramai tidak tahu, seandainya bukan babyblve melaksanakan tugasan itu, bagaimana agaknya ya guru-guru di sekolah itu menjadikan impian pengetua mereka satu kenyataan ? ( Babyblve menyahut cabaran itu setelah berkali-kali pengetua itu menyuarakan hajat beliau dan babyblve tidak mahu mereka yang tidak tahu apa-apa tentang dekorasi menanggung bebanan itu ). Babyblve hanya harapkan guru-guru di sekolah itu menghargai apa yang telah babyblve lakukan. TERIMA KASIH SEGUNUNG BUDI babyblve berikan kepada semua teman-teman yang memberi sokongan moral, material dan menghargai bakat babyblve. I love u, u olllss...hahaha... muah muah muah...
 
Salah seorang guru di sekolah itu yang banyak mengomen...Sedang test duduk
katanya...hahaha....

TO ALL MY FRIENDS WHO STILL
 & WHO HAVE LEFT THAT SCHOOL...
THIS IS FOR YOU GUYS...






                                     




2 comments: