Dreamers

Wednesday 14 August 2013

The Sea of Monsters : Percy Jackson.


Bagi para peminat Percy Jackson, inilah filem yang ditunggu-tunggu. Setelah dua tahun menanti, akhirnya filem kedua dalam siri Percy Jackson menemui anda di pawagam. Bagi yang meminati novel Percy Jackson hasil tulisan Rick Riordon, sudah pasti ingin melihat kekuatan filem kedua ini apabila dibawakan ke layar perak. Mungkin ada yang masih ingat bagaimana novel pertama dalam siri ini iaitu Percy Jackson and The Lightning Thief telah diadaptasikan ke filem. Meski pun tidak sehebat siri Harry Potter, namun filem pertama dalam siri Percy Jackson tersebut bolehlah dianggap sebagai pembuka selera kepada para peminatnya untuk menikmati filem keduanya ini dan seterusnya filem-filem Percy Jackson yang bakal menyusul.
Penulis Rick Riordan dan novel hasil tulisannya The Sea of Monsters.

Baru-baru ini aku berkesempatan menonton filem ini dan aku berharap filem ini akan mengikut seperti mana yang digambarkan oleh penulis novel asalnya. Filem Percy Jackson yang pertama sedikit mengecewakan kerana terdapat banyak penambahan yang bagi aku tidak relevan dan melemahkan plot cerita itu secara tidak langsung. Sememangnya bukan mudah untuk mengadaptasi novel ke filem. Namun, banyak penerbit filem barat berjaya mengadaptasi beberapa karya besar dengan baik seperti Harry Potter, Twilight dan beberapa hasil karya penulis yang lain. Aku sebenarnya sangat teruja untuk menjadi pengikut filem ini setelah siri Harry Potter tamat. Malah, aku difahamkan bahawa penerbit filem Harry Potter yang pertama iaitu Chris Colombus merupakan orang yang bertanggungjawab mencetus idea projek ini selepas dua siri Harry Potter ketika itu mendapat sambutan.
 
Pohon Thalia...Gambaran awal aku, pokok ni sebatang je atas bukit tetapi
yang dipaparkan dalam filem ni lagi bagus.
Selepas menonton filem kedua dalam siri Percy Jackson ini, aku sangat yakin bahawa filem ini dan filem-filem lain dalam siri ini yang bakal menyusul akan mencapai kejayaan seperti siri Harry Potter. Aku cukup berpuas-hati dengan persembahan filem Percy Jackson and Sea of Monsters ini kerana ia digarap dengan baik seperti mana digambarkan di dalam novel. Pada permulaan filem ini, penonton dapat melihat bagaimana kuasa pohon Thalia iaitu anak kepada Zeus yang telah mati dan ditukarkan menjadi sebatang pokok yang melindungi seluruh kem menjadi lemah akibat serangan patung lembu mekanikal. Babak permulaan ini sangat kemas dan ringkas bagi penonton memahami jalan ceritanya. Malah, aksi pertarungan peserta kem dengan lembu mekanikal itu sangat menarik. Di akhir babak ini juga, kita pantas diperkenalkan dengan watak villian dalam filem ini iaitu Luke, anak kepada Hermes. Bererti, jika anda tidak pernah membaca novel ini atau menonton filem sebelumnya, anda akan faham watak-watak ini dengan mudah.
Lembu mekanikal.

Tyson, adik lelaki Percy Jackson. Kacukan Poseidon dan Cyclop.

Sebelum berlakunya pencerobohan lembu mekanikal itu, Percy Jackson agak terkejut dengan kehadiran seseorang yang tidak disangka-sangka. Selama ini dia menyangkakan bahawa dia merupakan satu-satunya anak kacukan Pesoiden dan manusia. Ternyata dia punya seorang adik lelaki yang lain. Namun, adik lelakinya itu bukanlah kacukan Pesoiden dan manusia tetapi dengan Nimph. Hasilnya, lahirlah seorang Cyclop bernama Tyson. Pada awalnya, Percy Jackson agak canggung menerima kehadiran Tyson sehinggalah dia melihat bagaimana Tyson bertarung dengan lembu mekanikal itu. Tanpa disedari Jackson mula mengagumi kelebihan yang dimiliki Tyson. Biarpun begitu, ramai peserta di kem tersebut terutama Annabeth. Annabeth memang benci dengan cyclops kerana cyclops telah membunuh rakan baiknya Thalia.
Teksi milik Graaea

Graaea, adik-beradik yang berkongsi satu mata.
 
Thalia kemudiannya berjaya menemui penawar kepada pohon Thalia iaitu bulu kambing emas atau dikenali sebagai Golden Fleece. Namun, untuk mendapatkan bulu biri-biri emas itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana ianya berada di sebuah pulau di lautan yang dipenuhi raksasa dan dijaga ketat oleh Polyphemus, seorang cyclop. Pengarah kem, Dionysus telah memilih Clarisse mengetuai armada mencari dan membawa balik Golden Fleece. Keputusan ini mengecewakan Jackson dan rakan-rakannya. Kemudian, Jackson telah bertemu dengan Oracle. Mengikut ramalan Oracle, salah seorang anak kacukan manusia dengan tuhan Greek yang utama akan menewaskan Luke atau dia akan memusnahkan Olympus. Yakin bahawa dialah anak kacukan yang dimaksudkan itu, Jackson telah memilih secara senyap mencari Golden Fleece. Asalnya, Jackson ditemani Annabeth, Tyson dan Groover. Namun, Groover diculik oleh Luke kemudiannya, ketika berada di Washington. Mereka dihantar oleh Graeae, tiga orang adik-beradik perempuan yang berkongsi satu mata dan satu gigi. Apabila menyedari bahawa Percy dan rakan-rakannya tidak mampu membayar upah menaiki teksi mereka, Graeae meninggalkan mereka berempat di Washington. Setelah Groover diculik, mereka menemui Hermes, bapa Luke bagi mengesan di mana Luke berada.
Makhluk seperti kuda yang boleh berenang di dalam laut.

Raksasa laut...eeeewwwww...

Bertarung dengan Polyphemus.
 Setelah mengetahui bahawa Luke berada di atas sebuah bot menuju ke pulau di mana Golden Fleece berada, mereka bertiga terus menjejaki Luke. Tyson menyeru bantuan ayahnya, Poseidon dan mereka bertiga menaiki seekor makhluk seperti kuda yang boleh berenang. Mereka kemudiannya mendekati bot mewah Luke. Di dalam bot tersebut, mereka menemui peti menyimpan mayat Kronos. Mereka baru menyedari tujuan Luke untuk mendapatkan Golden Fleece itu. Luke ingin menghidupkan kembali Kronos dan memusnahkan Olympus. Berlaku beberapa pertarungan dalam bot tersebut, sebelum Jackson ditangkap dan dikurung di dalam kurungan. Kemudiannya, mereka berjaya melepaskan diri dengan menggunakan pita pelekat pemberian Hermes dan mereka melarikan diri menggunakan bot penyelamat yang ada di dalam bot mewah Luke. Jackson yang mempunyai dialeksi tiba-tiba dapat membaca koordinat di mana pulau itu berada dengan melihat garisan koordinat pada laut dan mengingati nombor yang dibacakan oleh Graaea di dalam teksi sebelumnya.
 
Koordinat ke pulau di mana Golden Fleece berada.
 
Kronos...Bapa kepada Zeus, Poseidon dan Hades tetapi digulingkan oleh
anak-anaknya sendiri. Kronos juga memakan anak-anaknya.
Dalam pelayaran menuju ke pulau tersebut, bot Jackson telah ditelan oleh raksasa laut dan di dalam perut raksasa itu Jackson menemui Clasrisse dan armadanya yang tersekat. Dengan bantuan Jackson, mereka akhirnya berjaya keluar dari perut raksasa tersebut. Setibanya mereka di pulau itu, mereka mendapati Groover menjadi orang suruhan Polyphemus. Rupa-rupanya Groover terpaksa menyamar sebagai cyclop bagi mengelakkan dirinya dimakan oleh Polyphemus. Kemudian, mereka bertarung dengan Polyphemus bagi mendapatkan Golden Fleece tersebut. Dalam pertarungan tersebut, Tyson telah tercedera dan terhumban ke dalam laut. Akhirnya, mereka berjaya mendapatkan Golden Fleece tersebut dan membunuh Polyphemus. Namun, Luke dan sekutunya tiba tepat pada masanya. Luke merampas Golden Fleece dari tangan Jackson dan menghidupkan kembali Kronos. Luke kemudiannya ditelan hidup-hidup oleh Kronos. Jackson dan rakan-rakannya dapat melepaskan diri dari ikatan Luke serta mendapat semangat untuk bertarung dengan Kronos. Akhirnya mereka berjaya menumpaskan Kronos dengan bantuan Tyson yang rupa-rupanya masih hidup. Bagaimana ? Cuba tonton filem itu nanti ya. Selain Kronos berjaya dihidupkan kembali menggunakan Golden Fleece, Annabeth yang mati akibat ditusuk ekor makhluk ganas Luke, jua kembali disembuhkan menggunakannya.
Clarisse dengan Golden Fleece di tangan.

Annabeth yang telah terkorban juga diselamatkan dengan menggunakan
Golden Fleece.
 Mereka akhirnya selamat kembali ke kem. Clarisse diberi penghormatan untuk menyembuhkan pohon Thalia. Akhirnya, pohon Thalia kembali sembuh dan melindungi kem tersebut. Pengakhiran filem ini juga sama seperti di dalam novel. Pada keesokan harinya, penghuni kem dikejutkan dengan sesuatu yang di luar jangkaan. Golden Fleece bukan sekadar menyembuhkan pohon Thalia tetapi menghidupkan kembali Thalia. Di akhir filem ini kita akan diperkenalkan kepada Thalia, anak perempuan Zeus. Maka, Percy kembali memikirkan tentang ramalan Oracle. Ternyata, masih menjadi misteri akan siapa anak kacukan tuhan Greek yang dimaksudkan itu apabila Thalia kembali hidup.
Watak Thalia dalam filem seiras dengan
lakaran ini.
Filem ini bagi aku cukup puas hati. Aku paling gemar melihat bagaimana watak Tyson dihidupkan dalam filem ini. Ketika membaca novel tersebut, gambaran aku terhadap Tyson sangat teruk. Namun, pengarah dan pasukan produksi bijak memilih pelakon bagi memegang watak Tyson ini. Bagi aku pengarah juga sangat bijak dengan menampilkan Tyson bermata dua seperti manusia biasa setiap kali dia menyemburkan semburan penyamaran. Agak bosan juga, jika watak Tyson berterusan bermata satu. Idea memakai cermin mata gelap juga adalah idea yang bijak.
 
Douglas Smith, pelakon remaja Canada yang diberi peranan Tyson. Cool...
Setelah meonton filem ini, pasti ramai tidak sabar untuk menonton bagaimana novel ketiga dalam siri ini iaitu The Titan's Curse difilemkan. Aku yakin, filem ketiga dalam siri ini nanti akan lebih baik. Trust me. So, apalagi, pergilah menonton Sea of Monsters sekarang... :)

No comments:

Post a Comment