Dreamers

Sunday 11 August 2013

Wolverine Terus Beraksi...

                                            
Jika ingin menonton sebuah filem yang penuh dengan aksi, filem terkini dalam siri X-Men, terbitan Marvel Studio iaitu Wolverine adalah filem yang tepat. Sememangnya berbaloi setiap duit tiket yang anda bayar untuk filem ini. Jika dalam filem Wolverine sebelum ini kita dibawa menyusuri sejarah Logan atau Wolverine; kali ini kita mendalami isi hati dan hidup Logan sebagai seorang mutan. Kali ini, filem ini berlatar-belakangkan Tokyo, Jepun.

                                                                                   
Jalinan seni mempertahankan diri samurai dan ketangkasan aksi Wolverine.
                        
            Di babak awal filem ini, kita akan dibawa ke zaman perang dunia kedua, pada hari Nagasaki dibom oleh tentera Amerika dengan bom nuklear. Ketika itu, Logan menjadi tahanan tentera Jepun. Salah seorang pegawai Jepun yang bertugas pada hari tersebut iaitu Yashida telah melepaskan Logan dari tawanan. Namun, Logan enggan melarikan diri kerana dia berasa lebih selamat untuk terus berada di dalam tawanan yang seperti sebuah telaga. Logan akhirnya telah menyelamatkan nyawa Yashida ketika bom nuklear memusnahkan Nagasaki dengan melindungi lelaki itu dari terkena ledakan bom tersebut di dalam telaga itu. Bermula dari detik itu, Yashida berasa terhutang nyawa dengan Logan dan sejak dari hari itu Yashida tidak melupakan Logan- seorang mutan yang telah menyelamatkan nyawanya.
           Kemudian, kita mendalami jiwa dan diri Logan yang mengalami masalah mimpi sehinggakan dia seolah-olah dihantui oleh Jane, mutan yang dicintainya dan perlu dibunuh olehnya dalam filem sekuel X-Men : The Last Stand. Mimpi ini membuatkan dirinya rasa terganggu dan seandainya kita berada di tempat Logan, sudah pasti kita inginkan kehidupan sebagai manusia biasa seperti bekeluarga, menjalani hidup yang tenang dan apabila tiba saatnya nanti, kita akan mati. Namun, seperti mana yang kita ketahui, Logan adalah mutan yang mampu menyembuhkan kecederaannya sendiri dan dia tidak mungkin dapat dihapuskan.

Wolverine dalam tawanan...
 
         Selepas berpuluh-puluh tahun lamanya sejak peristiwa Nagasaki dibom, Yashida menjadi jutawan perniagaan di Jepun dan dia sedang nazak dengan penyakit kanser. Sebelum dia mati, dia ingin sekali bertemu Logan untuk mengucapkan selamat tinggal. Lantas, beliau telah meminta cucu angkatnya Yukio untuk menjemput dan mempelawa Logan datang ke Jepun. Ketika itu Logan tinggal di sebuah kawasan pedalaman Yukon. Pada awalnya Logan enggan mengikut Yukio ke Tokyo tetapi setelah diminta berkali-kali, akhirnya Logan bersetuju.          


Pewaris harta kekayaan Yashida, cucu kesayangannya Mariko.
                  
         Namun, pertemuan itu tidaklah seperti apa yang Logan sangkakan. Yashida ingin membalas jasa dan hutang nyawanya kepada Logan dengan memberikan satu cadangan untuk membantu Logan. Yashida menawarkan kepada Logan satu terapi dan rawatan untuk menjadikan dia seperti manusia biasa. Menurut kata Yashida, keabadian hidup yang dimiliki oleh Logan boleh dipindahkan. Meski pun Yashida tidak jelas menyatakan kepada siapa keabadian hidup itu dipindahkan, Logan sebenarnya faham dengan maksud tawaran Yashida. Lantaran itu, dia tidak bersetuju dan meminta untuk kembali ke Yukon pada hari esoknya.
        Pertemuan itu juga telah menemukan Logan dengan cucu Yashida, Mariko. Mariko tidak seperti Yukio, dia lebih bersifat lemah-lembut tetapi agak terganggu dengan keadaan kesihatan datuknya. Pada malam itu, Logan melihat betapa Mariko begitu tertekan. Logan juga berjaya menghalang Mariko untuk membunuh diri. Pada malam itu juga, seperti malam-malam sebelumnya, tidur Logan terganggu oleh mimpi Jean. Namun, malam itu apabila dia tersedar , dia diberitahu bahawa Yashida telah meninggal dunia.
Di hari pengkebumian Yashida.
                         
             Pada hari pengkebumian Yashida, Mariko telah diculik oleh Yakuza kerana Mariko telah dinamakan oleh datuknya sebagai penerima waris tunggal hartanya. Ayah Mariko juga sangat kecewa dengan penamaan wasiat tersebut dan dia tidak suka dengan kehadiran Logan. Bermula saat penculikan itulah, kita akan disajikan dengan aksi-aksi menarik pergelutan antara Logan, Yakuza dan Ninja yang diketuai oleh bekas kekasih Mariko. Paling menarik adalah babak pergelutan di atas kereta api peluru yang terkenal dengan kepantasannya. Babak berikutnya menyaksikan Mariko dan Logan bermalam di sebuah hotel cinta, sebelum menyembunyikan diri di sebuah rumah kampung di pedalaman selatan Jepun. Di situlah, Mariko dan Logan saling tertarik antara satu sama lain.
 
Adegan ni agak menarik sebab semua remaja dalam kedai permainan
video tu tak ambil kisah pun apa yang sedang berlaku.
                      
            Yukio, cucu angkat Yashida yang juga seorang mutan ( mampu meramal kematian seseorang ) cuba menemui Logan dan Mariko kerana dia melihat petanda yang tidak baik tentang Logan. Sementara Yukio tiba, Mariko sekali lagi diculik dan di bawa balik ke rumah ayahnya. Pada malam itu juga bekas kekasih Mariko dan angkatan ninjanya, menculik Mariko dan dibawa ke sebuah makmal di kaki bukit di sebuah perkampungan tradisi. Rupa-rupanya bekas kekasih Mariko bekerja-sama dengan bekas doktor peribadi Yashida, Viper. Viper merupakan seorang doktor wanita yang cantik dan seksi persis seorang supermodel tetapi sebenarnya dia seorang mutan, mutan yang mampu mengeluarkan bisa seperti ular. Selepas Mariko dibawa lari, Logan dan Yukio tiba di rumah ayah Mariko. Kelewatan mereka adalah disebabkan Logan mencari tunang Mariko, menteri kehakiman yang sebenarnya dijadikan boneka oleh ayah Mariko sendiri dalam merebut harta Yashida. Setibanya di rumah ayah Mariko, ayah Mariko bertarung dengan Yukio yang melindungi Logan yang ketika itu sedang mengeluarkan sejenis alat yang dimasukkan oleh Viper ke jantung Logan bagi melumpuhkan sifat keabadian hidup Logan. Setelah alat itu dikeluarkan, Logan kembali mendapat mutasi keabadian hidupnya dan semua kecederaan yang dialaminya sembuh. Kemudian, Logan bertarung dengan ayah Mariko dan akhirnya ayah Mariko terbunuh.
Svetlana Viktorovna Khodchenkova sebagai Viper. From Russia with love...
                             
               Logan kemudiannya menjejaki Mariko ke makmal di mana Mariko diculik oleh Viper. Namun, Logan dilambatkan oleh serangan bertubi-tubi angkatan ninja dan akhirnya Logan diberkas dan dibawa kepada Viper. Di situlah Logan melihat bahawa Viper telah mengusahakan satu projek iaitu mencipta sebuah robot yang diberi nama Silver Samurai untuk menewaskan Logan. Mariko yang pada awalnya tidak mampu berbuat apa-apa, akhirnya mengambil tindakan menyerang Silver Samurai sehingga robot itu tersasar dari memotong kuku tajam Logan. Satu pertarungan kemudiannya berlaku antara Logan, Silver Samurai, Viper, bekas kekasih Mariko dan Mariko sendiri.
Yukio yang datang kemudiannya sama membantu Logan. 
              Paling mengejutkan adalah babak penamat filem ini, bila mana kita didedahkan bahawa Silver Samurai sebenarnya adalah robot yang dikawal oleh Yashida. Yashida sebenarnya belum mati dan dilanjutkan usianya dengan menggunakan robot tersebut. Robot itu sebenarnya adalah untuk memindahkan keabadian milik Logan ke tubuh Yashida melalui bekas kuku besi Logan. Ternyata, kejutan ini sangat berjaya.
Perrrhhh...giler kalau kena tusuk nih...
                     
              Filem ini jika dilihat dari sudut hiburan, ternyata menjanjikan kepuasan. Aksi-aksi pertarungan yang dijalinkan antara kehebatan aksi Wolverine dan samurai Jepun merupakan elemen menarik yang mampu menjanjikan sajian luar biasa dan eksotik. Lantaran itulah, filem ini tidak membosankan. Malah, watak-watak mutan yang diselitkan dalam filem ini tidak mendominasi filem ini sehingga kita sedar bahawa kita menonton filem Wolverine dan bukannya sekuel X-Men.
              Selain itu, tema sampingan yang diselitkan dalam filem ini turut memainkan peranan yang besar iaitu mengenai kejujuran dalam persahabatan. Budi seseorang kepada kita, apalagi jika orang itu sanggup mengorbankan dirinya demi kita; sesungguhnya tidak dapat dibalas dengan wang ringgit. Malah, filem ini juga mengetengahkan kehidupan mereka yang mewah dengan wang ringgit tetapi semakin sukar mempercayai orang lain.
Bagi aku, filem ini sangat menarik untuk ditonton dan amat berbaloi...:)
 
jelitawan ASIA nan bErAKsi dalam FiLeM ini...
Tao Okamoto- Ralph Lauren Campaign

Rila Fukushima...unik.

Peranan Rila sebagai Yukio dalam filem ni mmg
aku suka sebab penampilan dia macam dalam komik.
 

No comments:

Post a Comment