Dreamers

Tuesday 18 June 2013

Pee Mak...Pee Nak...Nak Nak Nak...:)


Berangan nak menonton filem ni di Bangkok bersama Ben, tapi malangnya di sana filem ni dah sebulan lebih ditayangkan. Akhirnya, dapat juga menonton filem ni di Malaysia. Tak rugi pergi menonton filem ni kerana sentuhan pengarah filem ini dan juga para pelakonnya, menjadikan filem ini filem seram komedi yang benar-benar meninggalkan kesan ke atas penontonnya.


Filem ini merupakan adaptasi kisah rakyat, Mae Nak Phra Khanong...mmmmm...kisah hantu di terusan Phra Khanong di Bangkok. Kisah hantu ni sememangnya menjadi lagenda bagi penduduk setempat sehinggakan ada upacara memperingati hantu ni. Kisahnya lebih kurang begini, pada zaman dahulu ada sepasang suami isteri, Nak (isteri) dan Mak (suami). Mereka sememangnya saling mencintai antara satu sama lain. Sehinggalah Mak diarahkan menyertai peperangan dan isterinya Nak sedang sarat mengandung. Mak mendapat kecederaan dan dalam perjalanan pulang, Nak bertarung dengan nyawa untuk melahirkan anak dan akhirnya Nak tewas. Setibanya Mak di rumahnya, Mak mendapati Nak masih setia menanti kepulangannya. Namun, sebenarnya Nak adalah hantu. Ramai orang kampung yang cuba menerangkan keadaan ini kepada Mak tetapi semua mereka menemui kecelakaan dan mereka percaya Nak yang membunuh mereka. Akhirnya, Mak sendiri menyedari bahawa Nak adalah hantu ketika Nak mengambil buah limau yang jatuh di laman rumahnya, di mana tangan Nak boleh menjadi panjang. Mak kemudian melarikan diri dan mendapatkan perlindungan di sebuah kuil. Kemudian, sami buddha telah menenangkan roh Nak dan akhirnya Nak tenang hidup di alam yang lain.
 
Legenda hantu Mae Nak Pra Khanong

Telah banyak filem tentang Mae Nak ini dihasilkan. Kali ini pengarah hebat, Banjong Phisantanakun yang pernah mengarahkan filem seram Shutter, kembali dengan versi baru filem hantu Mae Nak. Banjong memilih untuk mengarahkan filem berbentuk seram komedi. Ternyata Banjong gemar bermain elemen 'surprise' dalam kebanyakan filem arahan beliau. Sentuhan beliau kali ini juga tidak lari dari elemen tersebut. Menariknya filem ini adalah semua jangkaan penonton menjadi salah. Lantas, sudah pasti kita berpuas hati kerana dihidangkan dengan filem yang tidak membosankan dan tidak basi.
 
Banjong Phisantanakun
Begitu juga dengan peranan yang dimainkan oleh pelakon utama dalam filem ini, Mario Maurer dan Davika Hoome. Mario ternyata lebih matang dalam melaksanakan tugasan beliau menghidupkan watak Mak kerana filem ini memerlukan Mario melakonkan adegan komedi, romantik dan sedih. Mario, mendengar suaranya saja sudah bisa mencairkan hati wanita yang mendengarnya. Tambahan pula dengan wajah kacak dan sepasang mata 'puppy love' nya itu. Begitu juga saat Mak mengucapkan selamat tinggal kepada Nak. Memang sedih. Lakonan hebat Davika jua sangat membantu. Bukan mudah melakonkan watak hantu yang bisa membuatkan penonton berasa seram dan pada masa yang sama ketawa serta menangis. Mereka memang pelakon hebat.
 
Mario Maurer dan Davika Hoome
Selebihnya, aksi-aksi dan dialog komedi filem ini terletak di tangan pelakon yang lain seperti Pongsathorn Jongwilas, Nattapong Chartpong, Auttarut Kongrasri and Kantapat Permpoonpatcharasook. Adegan paling lucu dalam filem ini adalah apabila Mak bercerita kepada kawan-kawannya tentang Nak. Para penonton pasti pelik mendengar suara Nak yang agak sengau tetapi sebenarnya itu adalah suara Mak yang cuba mengejek suara Nak.
 
 
Sememangnya, filem Pee Mak ini bukan sebuah filem komedi murahan. Malah, aku tertanya-tanya bila agaknya filem kita akan mempunyai kualiti cinematografi seperti filem ini, di mana kualiti gambarnya setanding filem Hollywood. Tidak jemu menonton filem ini kerana plot yang tidak mendatar dan peran para pelakonnya yang sangat menjiwai watak masing-masing.




 

No comments:

Post a Comment