Dreamers

Friday 12 July 2013

Ghost's Diary...( Episode One )

 

Sudah berbulan-bulan lamanya tidak hujan. Hari ini langit tiba-tiba menangis dan bumi yang kegersangan bagaikan tersenyum kecil kenikmatan, lantas membebaskan kabus nipis menabiri alam. Namun, hujan tidak lama. Tidak sampai satu jam, tangisannya mulai reda dan gerimis menyemai benih. Dalam cuaca yang lembap itu, kenderaan terus bertali arus memasuki kawasan perumahan mewah di mana aku menetap sekarang ini. Sama seperti selalu. Kenderaan yang keluar masuk tidak putus-putus.
         Sebuah banglo sederhana besar bercat putih dan biru laut, terletak agak jauh sedikit di hujung lorong utama taman perumahan itu tidak sekali-kali menimbulkan keganjilan bagi sesiapa saja yang melepasinya. Rumah berseni bina Inggeris itu dikelilingi tembok bata bercat putih, dengan pepohon rhu meneduhi  lamannya. Bila malam, suasana agak suram dan menimbulkan sedikit rasa gerun. Jika dilihat dari luar, sama sahaja seperti rumah-rumah lain. Malah, beberapa kenalan yang singgah bertamu jua tidak melihat apa-apa keganjilan pada dekorasi dan susun atur perabot rumah itu. Cuma, mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka saksikan sebenarnya bukan seperti mana hakikatnya. Hah! Pasti mereka tidak sedar bahawa mereka sebenarnya berada di sebuah kediaman milik seorang memedi. Ya, memedi itu aku.
        Pelik ? Tiada yang pelik dalam kehidupan ini bukan ? Memang benar...Aku seorang memedi. Aku sebenarnya sudah lama mati. Namun, aku  sendiri tidak tahu BILA, DI MANA dan KENAPA aku mati. Apa yang pasti kewujudan aku tidak disedari oleh sesiapa pun. Atau sebenarnya, mereka tidak ada masa untuk mengenali aku ? Hah! Biarlah, aku sememangnya sangat senang begini.

         Malam ini malam Ahad. Esok merupakan hari cuti bagi aku. Seperti malam-malam Ahad sebelumnya, aku diburu kebosanan. Program yang ditayangkan di televisyen langsung tidak menarik minatku. Sesekali aku bangun menghampiri tingkap, menarik langsir ke sisi dan melihat ke luar jendela. Malam makin pekat. Sesekali lampu kenderaan menangkap gerimis nan masih berguguran. Aku menarik nafas dalam-dalam, sebelum melepaskan satu keluhan kecil.
         " Yes. How about if I set a dinner. Unless...for four...Hmmm..." Tiba-tiba idea itu tercetus di minda ku.
          Pantas aku ke dapur. Aku tersenyum lebar melihat pelbagai jenis makanan di dalam peti sejuk.  Hidangan yang ingin aku sajikan terus muncul di fikiran satu persatu. Pantas aku keluarkan semua bahan-bahan itu dari peti sejuk dan mula membersihkan serta menyediakannya sebelum dimasak . Tidak lama selepas itu, aku hidupkan dapur masakku. Aku mengukir senyum.
          Sementara menanti hidangan itu siap, aku mula menyusun pinggan mangkuk dan alatan untuk makan malam di atas meja. Sesekali aku kembali ke dapur, menjenguk masakan yang sedang mereneh di usik api dapur. Aku senyum sendiri apabila aroma bau masakan ku menyentuh hidung. Perutku berasa begitu lapar sekali dan aku yakin tetamu aku akan memuji keenakan masakan ku. Siapa tidak kenal dengan aku...Pakar masakan. Hahaha...
          Selepas selesai aku menyusun atur meja, aku menghantar pesanan ringkas kepada beberapa orang rakan. Afiq, Ben, Issac, Mark dan Kay. Semuanya begitu gembira dengan pelawaan aku dan berjanji akan menghadiri majlis makan malam itu. Kemudian aku ke dapur semula. Masakan ku sudah sedia. Sejurus aku padamkan api dapur, aku menuju ke kamar mandi. Pancutan air panas sungguh menyegarkan, ditambah pula dengan kesegaran aroma lavender. Selesai mandi, aku bersiap menata rias diri dan memilih busana yang sederhana tetapi masih tetap bergaya.
          Makanan sudah sedia terhidang di atas meja yang kelihatan cantik dengan hiasan bunga ros putih dan daun paku halus bewarna hijau. Aku melirik ke arah jam dinding. Masih ada 10 minit sebelum mereka tiba. Hatiku bernyanyi girang. Sesekali irama muzik instrumental klasik gubahan Mozart mengisi setiap ruang rumahku.
          Waktu terus berlalu, aku melirik ke arah lima buah kerusi yang masih kosong. Api lilin sesekali meliuk gemalai ditiup angin yang entah dari mana. Hidangan masih belum disentuh. Aku melirik ke arah jam sekali lagi. Tiba-tiba telefon bimbit ku berbunyi. Pesanan ringkas mengetuk kotak masuk pada telefon bimbitku.
 
          " Hi ...sorry, i couldn't make it. Danial suddenly won't let me go. He's crying like crazy...Ahhhhhh...C u next time. :) " Pesanan ringkas daripada Kay.
           Aku sekadar tersenyum sebelum membalas, "OK".
 
           Dua minit kemudian...
          " Hey...Sorry, it's raining cats and dogs here. I can't make it. Sorry 1000...jajaja..." Mesej Issac. Aku senyum dan membalas. " ok..."
    
          Seminit kemudian...
         " Hey bb... My boss called me just now. He needs my report....Damn it ! Fuck his ass...sorry..." Mesej daripada Mark dan aku membalas "ok..."
 
          Hidangan di atas meja semakin dingin. Api lilin semakin lesu. Aku bangkit perlahan-lahan, lantas menyimpan pinggan-pinggan yang sepatutnya untuk Kay, Issac dan Mark. Kemudian, aku kembali duduk memerhati pada hidangan di atas meja yang masih belum terusik dan kerusi yang masih kosong. Hatiku mula berbelah-bagi. Ben mungkin akan datang tetapi Afiq kebarangkalian untuk dia tidak datang sangat tinggi. Tadi pun Afiq masih sibuk dengan latihan bola sepaknya.
 
          Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi lagi...
         " Hi...sorry sorry sorry. I forget to tell u, Aau is on the way to my apartment. I told...." Aku terus membalas mesej Ben tanpa terus membaca mesejnya sehingga habis. Tidak penting bukan.
 
         Hatiku masih berharap agar Afiq akan datang.
 
         Sejam sudah berlalu. Hidangan terbiar kedinginan. Perlahan-lahan aku bangkit dari duduk. Api lilin aku padamkan dengan jari. Aku menghampiri kerusi di mana Ben sepatutnya duduk, namun hasratku terbantut apabila telefon bimbitku berbunyi lagi.
 
        " Hi, baby...I cant make it. Next time..." Seperti yang aku jangkakan, Afiq tidak akan datang. Hah! Aku senyum sendiri dan membalas mesejnya  "ok..."
 
        Perlahan-lahan aku bawa semua hidangan yang telah dingin itu terus ke dapur dan menyimpannya di dalam peti sejuk. Kemudian aku mencapai kain tuala kecil untuk mengelap meja. Aku lap meja makan yang telah kosong  perlahan-lahan. Akhirnya, aku susun semua kerusi untuk semua tetamu kembali ke tempatnya. Aku merenung meja makan yang begitu sempurna di pandanganku. Sempurna...Sempurna kerana ianya tidak pernah didatangi oleh sesiapa untuk meraikan apa-apa. Aku senyum sendiri dan suis lampu ku padamkan.
 
         Aku tersentak. Kilat tiba-tiba mengejutkan aku. Berangan rupanya aku. Aku melabuhkan kembali langsir kamar ku. " Adakan makan malam? " Hatiku berdetik. Lantas aku senyum. Tak mungkin aku akan adakan makan malam untuk mereka yang kusebutkan tadi. Tak mungkin. Mereka sebenarnya semua dari masa silam ku dan kini mereka berada jauh dari aku. Kay, dia jauh berada di Kuala Lumpur. Ben, di Bangkok. Issac, di New York. Mark, di Sydney. Afiq....Siapa Afiq ? Hah! Entahlah, aku tidak kenal siapa Afiq. Namanya tiba-tiba saja muncul dalam ingatan ku. Adakah aku pernah mengenali dia ? Atau aku akan mengenali dia ?
  
         Hakikatnya, siapa nan  bisa sudi menemani memedi untuk makan malam ???

 

No comments:

Post a Comment