Dreamers

Wednesday 10 July 2013

Monster University : Back to College Life...

Dalam kesibukan tugas dan pengurusan diri, sempat aku ke pawagam untuk menonton filem animasi yang sememangnya aku tunggu-tunggu, 'Monster University'. Seperti filem-filem animasi terbitan PIXAR sebelum ini, 'Monster University' merupakan sebuah lagi filem yang berjaya menarik perhatian penonton. Berbaloi rasanya menonton filem sekuel kepada 'Monster Inc.' ini.
 
 
Meskipun filem ini adalah sekuel kepada filem 'Monster Inc.' tetapi plot penceritaannya kembali ke zaman kolej Sullivan dan Mike. Permulaan filem ini juga sangat menarik apabila Mike mendapat inspirasi untuk menjadi 'scarer' ketika melawat 'Monster Inc.', di mana Mike bertemu dengan seorang 'scarer' yg hebat ketika itu iaitu Frank. Satu kejadian yg tidak disengajakan berlaku dan ini telah membuatkan Frank kagum terhadap Mike yg masih kecil, lantas Frank menghadiahkan Mike dengan topi miliknya. Sejak dari hari itu cita-cita Mike untuk menjadi 'scarer' tetap membara sehinggalah Mike diterima masuk ke Monster University.
 
 
 
Di universiti, Mike mengikuti bidang pengajian untuk menjadi seorang 'scarer'. Bidang tersebut merupakan bidang yg sangat berprestij dan bukan calang-calang monster boleh mengikuti pengajian tersebut. Namun, Mike tidak memiliki bakat dan ciri-ciri seorang 'scarer' yg hebat. Sejak dari awal lagi Mike dipersendakan oleh rakan-rakan sepengajiannya. Tidak seperti Sully, Sully sangat bertuah kerana memiliki bakat seorang 'scarer' yg semulajadi. Sejak detik awal perkenalan mereka, Mike tidak suka untuk berkawan dengan Sully. Ketika itu Mike senang berkawan dengan Randy. Biarpun begitu, Mike seorang yang rajin mengulangkaji dan bekerja keras untuk diterima sebagai 'scarer'. Tidak seperti Sully yang gemar berfoya-foya dan mengambil mudah dlm semua perkara.
 
 
 
Sehinggalah pada hari peperiksaan, satu kemalangan telah berlaku dan akibatnya, dekan yg sangat digeruni Hardscrabble, telah membuang Mike dan Sully dari bidang tersebut dan ditukarkan ke bidang lain. Ternyata, Mike dan Sully tidak berminat dengan bidang pengajian yang baru. Sehinggalah Mike mendapat idea untuk menyertai satu pertandingan iaitu Scare Game. Namun, untuk menyertai pertandingan tersebut Mike perlukan beberapa ahli kumpulan. Mike hampir-hampir gagal menyertai pertandingan tersebut. Malah, Randy yg merupakan rakan baik kepada Mike juga berpaling tadah dengan menyertai kumpulan yang lebih popular. Sehinggalah Sully menawarkan diri. Meskipun Mike pada awalnya tidak mahu menerima Sully tetapi dia tidak ada pilihan lain. Mike juga mencabar dekan Hardscrabble dengan membuat pertaruhan. Seandainya, kumpulan Mike memenangi pertandingan tersebut, Mike dan rakan-rakannya akan diterima semula mengikuti pengajian dalam bidang 'scarer'. Namun, jika sebaliknya terjadi maka mereka semua akan dibuang universiti.
 
 
Ternyata, pertarungan dalam pertandingan tersebut bukanlah semudah yang disangka. Pelbagai helah dilakukan oleh pasukan lain untuk mengenepikan antara satu sama lain. Namun, Mike sebaliknya bekerja keras melakukan penyelidikan dan bacaan serta latihan untuk berjaya. Akhirnya, mereka berjaya menjadi juara. Malangnya, kemenangan mereka adalah satu penipuan yg dilakukan oleh Sully. Mike yg tidak gembira dengan apa yang dilakukan oleh Sully telah memaksa Sully berterus-terang dengan dekan. Akibatnya, mereka dibuang universiti. Mike dalam waktu yang sama tidak dapat menerima hakikat bahawa dia bukanlah monster yang digeruni. Lantas, Mike mencuri masuk ke fakulti membuat pintu. Kemudian Mike telah menggunakan salah satu pintu itu untuk ke dunia manusia. Ternyata, tindakan Mike adalah tindakan yang salah. Dia diburu oleh manusia, sehinggalah Sully datang menyelamatkan Mike.
 
 
Penamat filem ini juga sangat menarik, apabila kedua-dua mereka memulakan kerjaya di Monster Inc. sebagai tukang cuci lantai. Kemudian mereka beralih dari satu bidang kerja ke bidang kerja yang lain. Mereka lakukan semua kerja-kerja itu dengan bersungguh-sungguh sehingga menjadi pekerja cemerlang. Akhirnya, Sully menjadi 'scarer' dan Mike menjadi pengurus pintu untuk Sully. So sweet. Ternyata filem ini banyak mengetengahkan semangat dan kesungguhan yang berterusan akan menjamin kejayaan. Malah, boleh dikatakan bahawa pengarah filem ini mempunyai banyak idea yang ingin diketengahkan dalam dunia monster. Ha3...Filem ini sangat menghiburkan. Tak rugi tonton. Filem pendek tentang payung yang dipaparkan pada awal filem ini juga sangat menarik, meneruskan kesinambungan filem pendek animasi PIXAR.
 
 

No comments:

Post a Comment