Dreamers

Thursday 25 July 2013

Ghost's Diary...( Episode TwO )

Malam semalam, bulan begitu indah bersinar di langit. Leka aku menatapnya hingga lewat dinihari, mengimbau segala kenangan silam hingga tidak sedar subuh menyapa diri. Namun, malam ini langit hitam pekat. Segala keindahan semalam tiada lagi, dibasuh hujan nan turun lebat petang tadi. Demikianlah kehidupan ini. Hari ini mungkin kita memiliki segala-galanya. Esok lusa belum tentu. Berbahagialah bagi mereka yang sedar akan hakikat ini. Pasti mereka sentiasa bersedia untuk menerima erti kehilangan.
Aku sendirian di anjung rumah sambil memerhatikan beberapa buah kenderaan yang bergerak malas melewati rumahku. Sesekali angin malam nan lembut berpuput lesu menyapa wajahku. Aku semakin menyedut asap rokok yang masih berbaki dalam-dalam, cuba mencari kehangatan. Ternyata, hujan petang tadi memberikan malam yang dingin. Aku menghembuskan asap itu perlahan-lahan dan terliuk-liuk ia ke udara ditarikan oleh angin nan lesu. Lalu hilang di balik kegelapan bayangan langit.
       Saat itu fikiran ku kosong, sehinggalah pendengaran ku menangkap bunyi ketawa kecil yang datangnya dari bahu jalan di hadapan rumahku. Kelihatan sepasang kekasih sedang berjalan beriringan, dalam dakapan paling utuh melawan tiupan angin malam yang dingin. Tiada apa yang menarik perhatian aku tetapi aku menghantar pemergian mereka hingga hilang dari pandangan. Lalu tiba-tiba aku mengingati seseorang.
        Sememangnya, apabila kita menyayangi seseorang; kita pasti mempunyai perasaan untuk memiliki dan dimiliki. Kita ingin menyatakan betapa bermaknanya kehadiran dia yang kita sayang dalam hidup kita sehinggakan kita inginkan dia sentiasa berada di sisi kita. Begitu jua sebaliknya, kita inginkan dia memiliki perasaan nan sama. Sentiasa inginkan kita berada di sampingnya. Namun, benarkah itu segala-galanya apabila kita menyayangi dan mencintai seseorang ?
         Dulu, aku pernah memiliki perasaan sebegitu. Aku memburu cinta yang sempurna. Aku tidak pernah mengenal lelah dan putus asa. Bagiku, aku tidak mampu hidup tanpa cinta. Bila aku temui dia, aku kira hidupku sudah sempurna. Aku berikan segala yang termampu demi membuatkan dia bahagia. Andai itu dinamakan pengorbanan, maka aku telah bekorban apa saja demi dia. Apa yang aku mahu, dia bahagia dan senantiasa berada di sisiku. Aku tidak bisa mengangankan bagaimana hidup aku jika dia meninggalkan aku dan pergi dari hidup ini.
         Aku kira dia bahagia memiliki aku kerana padanya aku begitu. Namun, sudah ketentuan. Mawar yang kembang, belum tentu menjadi milik kumbang. Mungkin ia bisa terkulai layu di jambangan waktu atau dicantas orang. Bila sudah suratan tertulis oleh Tuhan bahawa dia akan pergi; maka tiba saat ketikanya, dia akan pergi. Namun, saat itu aku tidak bisa menerimanya. Saban detik waktu aku bertanyakan pada diri sendiri, atas dasar apa dia meninggalkan aku. Lantas jadilah aku akan seorang pemikir agung. Siang malam aku menjadi perisik, merisik khabar tentang dia. Ternyata, makin ku cuba mencari jawapan, semakin jauh aku kesesatan. Lantas aku mengalah dan akhirnya aku menjadi penyendiri. Hakikatnya, dia sangat berbahagia di sisi kekasihnya itu. Lalu aku mendoakan kebahagiaan dia buat selama-lamanya.
          Ku kira, di situlah berakhirnya episod cinta dalam hidupku. Ternyata aku salah. Kemudiannya, aku temui lagi si bidadari dan malaikat yang menawarkan cinta serta pesona mereka pada ku. Satu demi satu hadir dalam hidupku. Namun, satu demi satu jua pantas meninggalkan aku. Kiranya jodoh pertemuan itu begitu jauh dari diriku. Sehinggalah pada satu ketika, aku merasakan bahawa AMAT TIPIS SEKALI UNTUK DIRIKU INI MEMILIKI CINTA.
          Akhirnya, aku padamkan semua rasa cinta dalam diriku. Hari-hari dalam hidupku, aku penuhkan dengan kesibukan tugas. Usia yang beransur makin mematangkan aku. Anehnya, aku tidak lagi mudah jatuh cinta dengan mana-mana malaikat yang lalu tersenyum buatku. Sehinggalah aku ketemui dia. Makin aku lari dari dia, semakin pantas dia merapati aku. Namun, kenangan silam menghantui aku dan aku memendamkan segalanya jauh di lubuk hati yang dalam. Meski pun begitu aku akui, aku mencintai dia.
           Hari berlalu begitu saja. Aku tidak mengenang dia saban waktu. Aku begitu senang dengan kehidupan ku sendiri. Namun, ada ketikanya aku berperang dengan diriku, perasaanku, sejarahku dan keinginanku. Akhirnya, sekali lagi aku kehilangan dia bila dia menjadi milik orang. Dia menjadi milik teman baikku sendiri. Saat itu, aku berasakan bahawa AKU ADALAH SOLDADU NAN TEWAS DALAM PEPERANGAN. MESKI PUN PEPERANGAN TELAH BERAKHIR, NAMUN DI DALAM DIRIKU, IANYA MASIH HURU-HARA. Kemudiannya, aku kembali menjalani kehidupanku seperti dulu. Awalnya begitu sukar bagiku untuk menerima hakikat itu tetapi perlahan-lahan aku bisa menerimanya.
           SUATU PAGI, saat aku bangun dari tidur; tiba-tiba aku teringatkan dia. Aku benar-benar tidak tahu mengapa aku teringatkan dia. Lalu aku menangis sungguh-sungguh. Dengan perlahan aku memohon kepada Tuhan agar aku bisa lupakan dia. Ternyata, pagi itu Tuhan memperkenankan doaku. Saat aku ingin melintas jalan, tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Pantas aku capai ia dari saku seluar jeansku. Rupa-rupanya, dia dan rakanku menghubungi aku menyampaikan berita gembira bahawa mereka telah mendapat cahaya mata. Terlalu gembira dengan berita itu, aku lupa di mana aku berada dan ke mana kakiku melangkah. Apa yang aku sedar detik berikutnya, aku melihat sebuah kereta mendekati aku dengan pantas. Dan kemudiannya, aku rasa seperti melambung ke udara dan perlahan-lahan penglihatan aku kabur...
             SUATU PAGI, saat aku bangun dari tidur; tiba-tiba aku teringatkan dia. Namun, aku sendiri jadi keliru kerana aku mengingati suami kepada kawanku. Aneh sekali. Lantas, aku bangun dan membersihkan diri sebelum aku berdoa kepada Tuhan agar kawanku bahagia di sisi suaminya. Kemudian aku bersiap-siap untuk ke tempat kerjaku.
            Setibanya aku di meja kerjaku, aku agak terkejut kerana aku melihat sejambak bunga ros merah terdampar mesra di atas mejaku. Perlahan-lahan aku membawa rapat jambangan itu ke dadaku sebelum aku mengucupi dan menikmati aroma harum ros itu. Aku begitu bahagia. Aku capai kad bewarna merah jambu yang tersisip di tengah jambangan bunga itu. Dalam senyum aku membacanya.
            ' Hi honey...
                  I rindu sangat2...Miss u...
                                          Love u...
                                         afiqxoxo '
 
              " I miss you too..." Bisikku dalam hati.
             Pantas aku menghantar pesanan bergambar buat lelaki itu tanda aku amat berterima kasih.
Hatiku bernyanyi riang. Dan setiap pagi, aku akan menerima jambangan bunga yang sama daripada orang yang sama. Sehingga kini, aku masih menerima jambangan bunga itu.
            Tiba-tiba aku tersedar apabila jariku terasa pedih. Api rokok mengejutkan aku dari lamunan yang panjang. Aku kembali ke dunia nyata. Kedinginan malam makin terasa. Aku bangkit perlahan-lahan masuk ke dalam rumahku. Setelah mengunci pintu, aku menghampiri meja tulis yang berada di sudut ke kamar ku. Aku capai telefon bimbit yang terdampar di dada meja itu. Aku senyum. Tiada sebarang mesej masuk, mahu pun panggilan yang terlepas.
            Aku melangkah masuk ke kamar. Aku duduk seketika di birai katil. Aku senyum lagi. Dengan perlahan aku mendoakan kebahagiaan kepada semua insan yang aku sayang. Aku mendoakan agar mereka sentiasa diberi kesihatan, kegembiraan dan rezeki yang berpanjangan. Tentang aku ? Aku yakin mereka semua jua mendoakan aku. Namun, seandainya mereka tidak mengingati aku, aku redha kerana dalam hidup ini CINTA TIDAK SEMESTINYA MEMILIKI DAN DIMILIKI.
           Perlahan-lahan aku merebahkan badan ke atas katil. Perlahan-lahan aku menutup mataku. Bibirku mengukir senyum. Di luar sedar, aku berbisik..." Sesungguhnya, aku sudah lama mati.Afiq...Siapa Afiq ???" Perlahan-lahan aku dibuai mimpi. Ternyata aku tidak kenal siapa Afiq atau mungkin aku akan kenali dia ???
            Dinihari kian menghampiri subuh. PEPERANGAN DALAM DIRINYA SUDAH LAMA BERAKHIR. NAMUN, DIA MASIH BERPERANG DENGAN KENYATAAN DEMI MENERUSKAN KEHIDUPAN. KEHIDUPANNYA YANG SANGAT SEPI...DIALAH SOLDADU ITU...SOLDADU NAN KESEPIAN....NAN ADA KETIKANYA DIA BERASA, BAHAWA DIA IBARAT HANTU NAN TIADA SIAPA BISA MELIHAT, MENYENTUH, MENGHAMPIRI dan APALAGI UNTUK MEMAHAMI...
 

No comments:

Post a Comment