Dreamers

Tuesday 23 July 2013

First Love...( A Little Thing Called Love )

 
Cinta Pertama...Tanyalah kepada sesiapa pun, pasti tidak ada sesiapa bisa mungkin melupakan cinta pertama. Itulah cinta yang paling agung. Indahnya kenangan jatuh cinta pada pandang pertama dan pedihnya rasa tika terluka semestinya kekal dalam ingatan sampai bila-bila. Berbahagialah bagi mereka yang cinta pertama mereka membawa hingga ke gerbang perkahwinan dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Rata-rata kenangan cinta pertama itu terjadi ketika di alam remaja. Ketika masih di bangku sekolah. Itulah yang digarapkan dalam filem ' First Love ( A Little Thing Called Love ). Filem ini seharusnya ditonton oleh semua demi mengingati kenangan cinta pertama masing-masing. Bagi aku, inilah filem yang paling sempurna membicarakan tentang cinta pertama.
Nam...the ugly duckling.
Filem ini mengisahkan tentang perasaan cinta seorang gadis bernama Nam ( Pimchanok Luevisadpaibul ) terhadap seniornya, P'Shone atau Shone ( Mario Maurer ). Namun, Nam sekadar memendam rasa cintanya terhadap Shone kerana bagi Nam Shone seorang jejaka yang sangat kacak dan menjadi kegilaan ramai gadis. Biar pun begitu, seperti gadis belasan tahun yang lain, Nam meluahkan perasaannya kepada tiga orang rakan baiknya. Mereka juga mendapatkan idea dan mitos bagaimana untuk mencuri hati jejaka idaman mereka dengan membaca sebuah buku bertajuk 'Nine Recipes of Love'.
4 sekawan yg sentiasa bersama dalam susah dan senang.
Nam merupakan anak sulung dan dia mempunyai seorang adik perempuan. Ayahnya bekerja di United States, manakala ibunya menjalankan perniagaan sebuah restoran. Ayah Nam telah berjanji untuk menghadiahkan sekeping tiket ke United States kepada mana-mana anak gadisnya yang berjaya mendapat kedudukan pertama di sekolah. Nam benar-benar rindukan ayahnya dan dia bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai hasratnya itu. Shone pula merupakan anak lelaki tunggal kepada seorang bekas pemain bola sepak negara dan Shone juga meminati bidang fotografi. Shone seperti ayahnya turut berbakat dalam bermain bola sepak tetapi sering dihantui sejarah hitam ayahnya iaitu kegagalan ayahnya menjaringkan gol penalti pada suatu perlawanan penting. Ketika itu ibu Shone sedang bertarung untuk melahirkan Shone dan ayahnya hilang tumpuan dalam perlawanan tersebut. Akibatnya Shone selalu dianggap pembawa malang kepada keluarganya oleh orang ramai tetapi ayah dan ibu Shone sayangkan Shone. Ayah Shone cuba membantu mencari tempat untuk Shone dalam dunia bola sepak.
Jejaka idaman ramai gadis, Shone.
Di sekolah, Nam dan rakan-rakannya cuba menyertai 'Kelab Tarian', di mana sudah menjadi tradisi kelab itu memilih gadis-gadis berkulit cerah dan berperwatakan menarik. Setelah gagal mendapatkan tempat dalam kelab tersebut, Nam menyertai Kelab Drama. Pada awalnya, Nam tidak begitu teruja untuk menyertai kelab tersebut tetapi setelah terpandangkan Shone yang turut sama membantu sebagai pembuat props dan latar belakang pentas, Nam terus bersetuju. Lantaran bahasa Inggeris Nam agak baik maka dia diberikan watak Snow White. Setiap kali adanya latihan, Nam dan Shone kerap bertemu tetapi mereka tidak pernah bercakap antara satu sama lain. Nam agak malu-malu dan Shone pula sekadar bersahaja. Dalam waktu yang sama Shone sentiasa tidak lekang dengan kameranya. Dalam diam dia gemar merakamkan aksi-aksi Nam.
Pementasan drama Snow White telah membuatkan mereka sering bertemu.
Selepas pementasan Snow White and the Seven Dwarfs, Nam menjadi popular dalam kalangan pelajar lelaki. Malah, pada hari pementasan tersebut Top, rakan baik Shone yang baru berpindah ke sekolah itu terpesona melihat kecantikan Nam dan dia mula jatuh cinta kepada Nam. Berikutnya, kita dapat melihat perubahan wajah dan penampilan Nam. Dia mula memakai kanta lekap, pendakap gigi dan kulit Nam semakin cerah. Populariti Nam semakin melonjak apabila dia dipilih sebagai drum mejar bagi acara perbarisan hari sukan di kawasan tempat tinggalnya.
Akhirnya, Nam menjadi seorang gadis pujaan ramai.
Top, rakan kepada Shone kemudiannya meluahkan rasa cintanya kepada Nam. Shone ketika itu turut berada di situ, menjadi saksi dan mendengar luahan hati rakan baiknya itu. Nam menerima Top kerana tidak mahu mengecewakan hati rakan baik Shone. Lebih dari itu dia tidak mahu Shone beranggapan bahawa dia seorang gadis yang kejam. Sewaktu perkhemahan mereka beramai-ramai, Shone dan Nam berpeluang untuk mengenali lebih rapat antara satu sama lain. Namun, pada malam perkhemahan itu sesuatu telah terjadi. Top di luar kawalan telah mengucup pipi Nam. Nam berasa tidak selesa lalu Nam meminta hubungan mereka diputuskan. Kecewa dengan perpisahan itu, Top meminta agar Shone tidak cuba untuk menjadikan Nam sebagai kekasihnya dan Shone berjanji untuk tidak melakukannya. Nam pula kemudiannya memberi sepenuh perhatian kepada pelajaran.
Aku suka babak ini, bila Mario bercerita tentang kisah sotong. he3...klakar...
Tiga tahun telah berlalu, akhirnya Nam berjaya mendapat tempat pertama dan impiannya untuk menemui ayahnya menjadi kenyataan. Nam akhirnya bertekad untuk berterus-terang kepada Shone tentang cintanya. Ketika sambutan Valentine, Nam menemui Shone dan dia meluahkan segala perasaannya kepada Shone. Malangnya, Nam sedikit terlewat kerana hati Shone telah menjadi milik Pin, rakan sekelas Shone. Nam cuba berlagak tenang meski pun dia sebenarnya sangat kecewa. Sememangnya, aku sukakan babak ini. Di mana kemudiannya, Nam memeluk Pin tanpa rasa dendam.
Babak yang paling aku suka.
Setelah Shone mengetahui perasaan Nam, Shone berasa agak hampa kerana sebenarnya dia juga memiliki perasaan yang sama. Sebenarnya, mereka saling memendam perasaan dalam diam. Ketika kembali ke rumah, Shone ditawarkan untuk bermain dalam pasukan muda negara. Shone kemudian mengeluarkan sebuah album yang penuh dengan gambar-gambar Nam dan juga catatan perasaannya terhadap gadis itu dari dulu sehinggalah ke saat itu. Kemudian, Shone meletakkan album itu di hadapan pintu Nam dan apabila Nam membuka album itu, barulah dia tahu bahawa Shone juga mencintai dirinya. Ahhhh...babak ini sememangnya sangat mengesankan apabila kita melihat rahsia dan misteri setiap pertemuan mereka sebelumnya.
Misteri hati Shone akhirnya terjawab...Dalam diam dia juga mencintai Nam.
Babak akhir dalam filem ini menyaksikan bagaimana Nam dijemput oleh sebuah studio televisyen terkenal untuk ditemu bicara. Ketika itu, Nam merupakan seorang pereka fesyen terkenal yang baru pulang ke tanah air. Rancangan temubual itu sememangnya telah merancang untuk mempertemukan semula Nam dengan Shone yang ketika itu merupakan pemain bola sepak terkenal negara. Pertemuan itu sungguh mengejutkan Nam. Dalam pertemuan itu Nam bertanyakan kepada Shone, adakah dia sudah berkahwin. Kemudiannya Shone menyatakan bahawa dia menanti kepulangan Nam dan memilih Nam untuk menjadi pasangannya. Sememangnya pengakhiran filem ini sangat baik sekali.
Rancangan temubual yg akhirnya menyatukan mereka.Awesome....
Di samping kisah percintaan Nam dan Shone, filem ini turut mengetengahkan nilai persahabatan. Babak Nam dan rakan-rakannya bersama dalam waktu senang dan susah benar-benar membantu perjalanan filem ini. Begitu juga dengan aksi lucu guru mereka yang senantiasa jatuh hati dengan mana-mana guru kacak di sekolah itu. Ternyata, inilah rempah ratus dan ramuan yang diadun bersama sehingga menjadikan filem ini sebagai sebuah filem hebat yang tidak jemu untuk ditonton. Bagi aku, inilah filem cinta remaja yang paling sempurna.
Top, rakan baik Shone

Hadiah daripada Shone kepada Nam tetapi dia menyatakan bahawa
hadiah itu drpd Top....awesome baju dia kan ? hahaha...

Sawadeee...ahhahaa...

 

No comments:

Post a Comment