Dreamers

Sunday 21 July 2013

Sepi...Filem Melayu Terbaik

Mungkin tidak adil bagi aku seandainya aku asyik memperkatakan tentang filem dari luar dan melupakan beberapa karya tempatan yang tidak kurang hebatnya. Lain padang, lain belalang; lain orang, lain pandangannya. Mungkin, tuntutan citarasa penonton tempatan membuatkan ramai pengarah dan penerbit filem kita memilih filem-filem bertema ringan untuk dipertontonkan ke layar perak. Namun, jika filem itu temanya sederhana dan digarap dengan baik, ditambah pula dengan penataan sinematografi yang kreatif serta runut bunyi yang mantap; tidak mustahil filem itu mampu menambat hati penonton. Dalam lambakan filem kita di pawagam dewasa ini, aku ternyata memilih filem 'Sepi' sebagai filem terbaik. Meski pun gagal meraih kutipan box office berbanding beberapa filem lain yang aku sendiri tidak tahu di mana kekuatannya; filem 'Sepi' arahan Kabir Bhatia yang ditayangkan pada tahun 2008 mempunyai kekuatannya yang tersendiri.

Sepi...Filem terbaik dari pengarah nan sama yang mengarahkan filem 'Cinta'.
 
      Sudah lama aku tidak membeli tiket untuk menonton filem Melayu di pawagam. Kali terakhir aku menonton filem Melayu di pawagam adalah filem 'Berani Punya Budak' arahan Afdlin Shauki. Rata-rata sebelum ini, aku sangat prejudis dengan filem Melayu kerana aku kerap kecewa dengan kepuasan yang aku perolehi berbanding wang yang aku keluarkan untuk menonton filem tersebut. Kini, aku tidak lagi menonton filem Melayu di pawagam kerana aku berasa seperti membuang masa dan duit sahaja untuk menonton filem-filem tersebut yang rata-rata aku tidak tahu babak mana yang perlu aku ketawa, menangis dan teruja untuk menikmatinya. Lambakan filem-filem Melayu yang disiarkan di televisyen ternyata membenarkan apa yang aku fikirkan, kebanyakannya banyak mengandungi unsur lawak slapstik dan pemikiran yang sudah basi. Aku hanya akan menonton beberapa filem Melayu bersandarkan kepada pengarahnya. Paling aku suka adalah hasil karya Afdlin Shauki dan Kabir Bathia kerana bagi aku mereka ini pengarah yang kerap hadir dengan idea baru. Aku suka jika aku keluar dari panggung dengan sesuatu yang mampu aku fikirkan sebagai santapan kehidupan dan bukannya keluar dengan otak kosong. Sedih dan kecewa, jika menonton filem lucu tetapi tidak tahu di mana lucunya serta menonton filem seram tetapi tidak tahu di mana seramnya. Kadang-kadang aku rasa semakin dungu dan bebal selepas menonton beberapa filem Melayu. Anehnya, filem seperti itulah yang box office.
 
Kemalangan telah menemukan mereka bertiga.
       Dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini, aku kira filem 'Sepi' merupakan filem Melayu terbaik yang pernah aku tonton, di samping beberapa filem lain seperti 'Cinta', 'Sekali Lagi', 'Sepet', 'Talentime' dan 'Soal Hati'. Filem drama romantik ini mengisahkan 3 orang yang berasingan mengenal erti cinta, kehilangan dan kesepian. Adam (Afdlin Shauki), seorang tukang masak berjaya, meluaskan kerjayanya dengan mereka hiasan terbaik sekali untuk majlis perkahwinan. Tetapi dengan segala kejayaan beliau masih membujang dan belum bertemu dengan pasangannya sendiri. Kemudian seorang pemilik kilang kasut bernama Sufi (Tony Eusoff) yang sekian hari cuba melenyapkan memori pemergian isterinya yang telah mati. Akhir sekali Imaan (Baizura Kahar) seorang penulis teater muda yang menjadikan pentas teater sebagai tapak memahami masa silamnya dan kupasan demi kupasan ke dalam masa depannya sendiri. Ketiga-tiga mereka berkait di dalam satu insiden dramatik yang akan merubah kehidupan mereka buat selamanya.
 
Lakonan cemerlang dan mengesankan daripada dua nama besar dalam dunia
filem Melayu, Afdlin dan Nasha...
       Filem ini dimulakan dengan babak di mana satu kemalangan telah berlaku dan melibatkan tiga watak utama di dalam filem ini iaitu Adam, Sufi dan Imaan. Kemudian, kisah Adam mula mengisi babak-babak di awal filem ini. Aku benar-benar berpuas hati dengan lakonan Afdlin Shauki yang memegang watak Adam dan Nasha Aziz yang memegang watak Suzie. Kedua-dua mereka berjaya membawakan watak masing-masing dengan baik. Adam, seorang pembuat kek yang berjaya tetapi masih membujang. Dia seorang lelaki yang disenangi mana-mana wanita tetapi hubungannya dengan wanita tidak kekal lama. Hidupnya semakin tertekan apabila setiap bulan dia pasti menerima undangan perkahwinan rakan-rakan. Meski pun Adam nampak seperti seorang 'happy go lucky' tetapi dia sebenarnya sepi. Adam sebenarnya rapat dengan seorang gadis bernama Suzie lakonan Nasha Aziz tetapi Suzie mempunyai karektor gila-gila, lurus bendul dan canggung. Lantaran itu, Adam berasa adalah kurang wajar untuk menerima Nasha sebagai pasangan hidupnya. Sehinggalah dia bertemu Ilyana (Vanida Imran ), seorang perancang perkahwinan. Kelembutan dan sifat kewanitaan Ilyana menambat hati Adam. Namun, Ilyana telah berpunya. Aku sukakan permainan kamera yang diarahkan oleh Kabir Bhatia dalam babak Adam dan Ilyana bermain tepung di dapur. Tampak begitu mengesankan. Pengakhiran kisah cinta mereka berakhir dengan kegembiraan apabila Ilyana membatalkan perkahwinannya dan kemudian memilih Adam.
 
Ilyana...bunga Camelia penambat kasih.
Kabir Bhatia di sisi Tony Eusoff dan Eja.
         Babak seterusnya pula menyaksikan kisah kehidupan Sufi seorang pengurus kilang kasut yang kehilangan isteri dalam satu tragedi. Kesunyian dalam hidupnya kemudian terisi apabila dia bertemu dengan seorang wanita yang lemah lembut dan keibuan, Marya ( lakonan Eja ). Lakonan Eja sebagai Marya juga berjaya mengundang simpati para penonton apabila dia berhadapan dengan konflik kesunyian tanpa anak. Aku sukakan adegan Sufi bersarapan bersama anak dan bekas isterinya. Bagi aku adegan itu sangat mengesankan terutama apabila anaknya mengingati kenangan itu setelah isterinya meninggal dunia. Pengakhiran kisah Sufi dan Marya juga merupakan satu pengakhiran yang bijak, bila mana watak anaknya bertemu Marya beberapa tahun kemudiannya. Ketika itu anak Sufi telah dewasa dan Marya telah tua. Meski pun Marya dan Sufi tidak bersatu secara fizikalnya tetapi cinta mereka abadi hingga ke akhir usia.
 
Imaan dan dunianya....Khalil yang hilang.
 
        Namun, kisah Imaan dalam filem ini benar-benar menyentuh hati dan meninggalkan kesan yang sangat mendalam di dalam diri aku. Aku sukakan kisah Imaan, aku sukakan lakonan Baizura Kahar, aku sukakan muzik yang melatari kisah mereka, aku sukakan puisi cinta mereka dan aku sukakan lakonan romantis dan bersahaja Syed Hussein. Namun, apa yang paling aku suka dalam kisah Imaan ini adalah perubahan plot yang berlaku tanpa disedari penonton, sehinggalah di babak akhir kisah mereka. Dari awal, tiada siapa menyedari akan kepelikan dalam hidup Imaan. Penonton sememangnya tidak menyedari akan perkara tersebut dan berasakan bahawa apa yang dialami oleh Imaan adalah satu realiti. Penonton langsung tidak pelik melihat aksi Syed Hussein yang cuba mendampingi Imaan sedangkan Imaan sudah mempunyai kekasih Khalil yang digambarkan sebagai lelaki 'cool', yang tidak mudah melatah apabila mengetahui kekasihnya dikacau lelaki lain. Sehinggalah Imaan terlibat di dalam satu kemalangan dan Syed Hussein menemani Imaan. Saat itulah, kita didedahkan dengan kisah silam Imaan. Hakikatnya, selama ini Imaan hidup dengan ilusi. Khalil sebenarnya telah mati. Namun, sukar bagi Imaan menerima hakikat itu dan dia hidup dalam dunianya sendiri. Aku sukakan puisi Khalil Gibran yang melatari babak Imaan ini. Malah, alunan vokal Gita Gutawa sangat menyentuh hati aku apabila kisah silam Imaan dimainkan.
 
Kabir di sisi Baizura Kahar

Lakonan Syed Hussein juga semakin matang dan menyerlah.
       Penamat bagi ketiga-tiga kisah dalam filem ini memberikan kepuasan kepada aku. Malah, apabila aku keluar dari panggung, ada sesuatu tentang hidup ini yang aku bisa fikirkan. Meski pun ada orang mengatakan filem 'Cinta' lebih baik dari filem 'Sepi' tetapi bagi aku filem 'Sepi' ini lebih menyentuh hati. Kekuatan filem ini bukan terletak pada pengkisahan tiga cerita itu semata-mata tetapi terletak pada olahan dan garapannya yang boleh dianggap 'halus' serta teliti. Sinematografi filem ini juga sangat baik, lari dari sinematografi filem-filem Melayu yang lain yang lebih seperti menonton drama. Ternyata Kabir Bhatia berjaya membawa kelainan dalam dunia filem Melayu.
 
Dengarkan alunan vocalizing gita gutawa ini...
 

 
 

 

No comments:

Post a Comment