Dreamers

Thursday 18 July 2013

The Love of Siam...

 
 "I can't be your boyfriend, but that doesn't mean I don't love you." Demikianlah ungkapan Tong kepada Mew di babak akhir filem 'The Love of Siam'. Meski pun ungkapan itu begitu ringkas tetapi maksudnya sangat mendalam. Sesungguhnya, ungkapan Tong kepada Mew memberi maksud dan pengertian cinta yang sangat luas; cinta bukan sekadar keperluan fizikal, mental dan nafsu semata-mata tetapi memerlukan pengorbanan yang tidak ada batasannya. Biar pun cinta itu cinta terlarang tetapi selagi cinta itu wujud, maka tidak ada apa yang bisa menghentikannya. Cinta tidak semestinya memiliki dan dimiliki. Ternyata pengkisahan episod cinta antara Mew dan Tong merupakan tulang belakang yang menjadi kekuatan filem ini; mengembangkan konflik dalam diri watak-watak lain. Maka, filem ini sememangnya boleh dianggap sebagai sebuah filem epik yang plotnya digarap dengan begitu sempurna ; mengakhiri konflik yang sangat rumit dengan memberikan kepuasan kepada penonton dan lari dari tema kebiasaan. Tidak hairanlah jika filem arahan Chookiat Sakveerakul memenangi hampir kesemua anugerah filem utama Thailand.


Mew cuba menenangkan Tong yang sedih dengan kehilangan kakaknya.
Filem ini dimulakan dengan pengkisahan sebuah persahabatan antara dua orang budak lelaki, Mew dan Tong. Mew tinggal bersama neneknya dan berjiran dengan Tong. Tong merupakan anak lelaki kepada pasangan Korn dan Sunee serta mempunyai seorang kakak bernama Tang. Mereka merupakan keluarga yang sederhana dan berpegang teguh kepada agama Katolik. Tong cuba untuk berkawan dan mendekati Mew tetapi Mew sebaliknya seorang yang pendiam dan agak sukar untuk berkawan. Namun, Mew tidak seperti budak lelaki lain yang agak bersifat kelakian dan agresif serta meminati sukan. Mew lebih sensitif, lembut dan cenderung ke arah muzik. Lantas, Mew kerap diganggu oleh budak lelaki lain di sekolahnya, sehinggalah Tong melindunginya dari dipersendakan oleh mereka. Rentetan dari peristiwa itu, Mew mula menerima Tong sebagai kawannya. Hubungan mereka semakin kuat apabila Tong menghadiahkan sebuah patung kayu yang dibeli ketika bercuti di Chiang Mai. Mew tertarik dengan cara Tong menghadiahkan patung tersebut; mengadakan satu permainan seperti mencari harta karun dan Mew terpaksa mencari satu demi satu bahagian patung kayu tersebut. Malangnya, Mew gagal mendapatkan bahagian terakhir patung kayu itu iaitu bahagian hidungnya apabila pokok di mana Tong menyembunyikan hidung patung itu telah ditebang. Meski pun Tong kecewa tetapi hubungan mereka kian intim.
Hadiah Tong kepada Mew, cara Tong yang tersendiri menarik perhatian Mew.
 
Hubungan Mew dan Tong menjadi intim selepas Tong menyedari betapa sunyinya hidup Mew.
 
        Namun, satu tragedi telah berlaku ke atas keluarga Tong apabila mereka sekeluarga bercuti di Chiang Mai. Tang telah hilang ketika menjalani ekspedisi mendaki gunung bersama rakan-rakannya. Rentetan kehilangan Tang, mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke Bangkok. Babak ini agak menyentuh hati apabila Tong melihat Mew mengesat air mata dengan hujung lengan bajunya ketika kereta yang membawa Tong perlahan-lahan meninggalkan Mew. Semenjak kehilangan Tang, Korn menjadi penagih arak dan kesihatannya terganggu. Kehidupan mereka sekeluarga tidak seperti sebelumnya. Kebahagiaan mereka kian pudar dengan timbulnya beberapa konflik.
Hubungan yang tidak dapat dihuraikan oleh kata-kata.
 
        Enam tahun kemudian, Tong dan Mew dipertemukan semula di Siam Square. Ketika itu, Mew merupakan penyanyi utama sebuah kumpulan anak-anak remaja, August. Tong yang meminati kumpulan August tidak menduga bahawa Mew adalah penyanyi utama kumpulan tersebut. Tong dalam waktu yang sama mengalami konflik dengan kekasihnya Donut. Pertemuan itu juga telah menyedarkan Mew bahawa dia sebenarnya mencintai Tong. Ketika itu juga, pengurus studio rakaman Mew meminta Mew mencipta sebuah lagu cinta. Saat itulah, Mew yakin bahawa dia mencintai Tong kerana Tong menjadi inspirasinya untuk mencipta lagu cinta tersebut. Pertemuan Tong dan Mew juga telah menemukan Tong dengan June, pengurus kumpulan August yang memiliki rupa paras seiras kakaknya yang hilang iaitu Tang. Tong memperkenalkan June kepada ibunya dan kemudian meminta June berpura-pura sebagai Tang bagi membantu kesihatan Korn serta memulihkan dia dari ketagihan arak.
Mew menyanyikan lagu yang ditujukan kepada Tong dengan penuh perasaan.
 
Di luar sedar, mereka sebenarnya saling mencintai...
 
        Kehidupan keluarga Tong semakin pulih apabila ayahnya kembali ceria semenjak kehadiran June yang disangkanya Tang. Lantas, ibu Tong iaitu Sunee mengadakan parti buat rakan-rakan, kenalan dan saudara mereka bagi meraikan Tang yang telah ditemui kembali. Dalam parti itu, Mew menyampaikan lagu ciptaannya. Ketika Mew menyanyikan lagu tersebut, mata Mew tidak lepas dari menatap wajah Tong. Tong juga memahami apa yang Mew rasakan. Setelah parti berakhir, Tong dan Mew berdua duduk di halaman rumah. Di luar sedar, mereka saling berkucupan. Malangnya, ibu Tong Sunee menyaksikan segalanya berlaku dan dia sangat kecewa serta terkejut dengan kenyataan itu.
Tong yang dalam kekeliruan tentang perasaannya sendiri...
 
       Malam itu merupakan malam yang sangat membahagiakan bagi Mew dan Tong. Namun, segalanya begitu pantas berakhir. Sunee, keesokan harinya menemui Mew dan meminta Mew meninggalkan Tong demi kebahagiaan keluarga mereka. Di sini, lakonan Sinjai Plengpanich sebagai ibu Tong sangat mengesankan. Seorang wanita, ibu dan isteri yang berhadapan konflik keluarga yang sangat kritikal. Dengan hati yang luluh, Mew menjauhkan diri daripada Tong dan hilang semangat untuk terus menjadi penyanyi utama kumpulan August. Hubungan antara Mew dan Tong yang dingin itu membuatkan Mew menyedari bahawa dia diminati dalam diam oleh Ying, gadis yang tinggal bersebelahan rumahnya. Dalam waktu yang sama, Tong kembali berkawan dengan Donut. Donut menerima Tong semula meski pun dia ragu-ragu sama ada Tong seorang lelaki normal atau gay. Namun, Tong kecewa dengan Donut apabila Donut menceritakan tentang rahsia Tong sebagai seorang lelaki homoseksual kepada rakan-rakan lelaki Tong yang lain. Babak seterusnya menyaksikan bagaimana Tong cuba membuktikan kepada Donut bahawa dia lelaki normal; dengan rakus Tong cuba mencabul Donut tetapi Tong terhenti apabila dia menyedari bahawa dia langsung tidak bernafsu ke atas Donut. Dalam kecelaruan itu, Tong menangis dalam dakapan Donut. Sememangnya, babak ini merupakan antara babak terbaik dalam filem ini.
2007, wajah remaja Mario Maurer...meski pun ketika itu masih mentah tetapi lakonannya sangat mengesankan.
 
Witwisit bukan sekadar seorang penyanyi, juga berbakat sebagai seorang pelakon.
         Kehadiran June banyak merubah keluarga Tong. June akhirnya menyedarkan Sunee bahawa dia perlu menerima hakikat dan memulakan hidup baru. June juga berjaya menyedarkan Korn dan memulihkan diri Korn untuk kembali mengecapi kebahagiaan hidup. Pada malam hari natal, Tong membantu Sunee menghias pohon Krismas. Ketika Tong ingin meletakkan hiasan pada pohon Krismas itu, dia meminta pandangan Sunee untuk memilih hiasan yang sepatutnya diletakkan di situ. Babak ini juga sangat menyentuh hati penonton apabila akhirnya Sunee menyatakan bahawa dia tidak akan menghalang apa jua pilihan Tong dalam hidupnya melalui kiasan patung hiasan yang dipilih untuk pohon Krismas mereka. Tong memilih patung seorang budak lelaki dan meletakkan semula patung seorang budak perempuan.
 
Adegan Witwisit menangis yang sangat mengesankan.
 
 
        Pada malam itu jua, Mew mengadakan persembahan bersama kumpulannya. Tong pada awalnya ingin keluar bersama Donut. Namun, akhirnya Tong memutuskan hubungannya dengan Donut. Tong kemudiannya dibantu oleh Ying untuk melihat persembahan Mew yang akhirnya menyaksikan Ying meninggalkan Tong apabila dia menyedari bahawa Mew mencintai Tong. Selepas tamat persembahan, ketika Mew ingin pulang; Tong menemui Mew. Tong memberikan Mew hadiah sempena hari natal. Hadiah itu merupakan hidung patung kayu pemberian Tong suatu ketika dahulu. Tong memuji nyanyian Mew dan ketika mereka ingin beransur pulang, Tong menyatakan kepada Mew, "I can't be your boyfriend, but that doesn't mean I don't love you." Di akhir filem ini, kita dapat melihat Mew bersendirian di kamarnya sebelum dia menangis sendiri mengenangkan diri Tong. Ternyata, pengakhiran filem ini sememangnya satu pengakhiran yang baik di mana penonton membuat sendiri kesimpulan. Apa yang aku fahami, bagi aku cinta itu tidak semestinya memiliki dan dimiliki. Malah, kenyataan ini disokong kuat oleh bait-bait senikata lagu cina dalam filem ini yang bermaksud, ' Selagi kamu mencintai; selagi itu ada harapan.'
 
Terdapat beberapa fakta menarik yang ingin dikongsi di sebalik filem ini. Pertama, watak Tong sangat baik dilakonkan oleh Mario Maurer yang ketika itu sangat mentah dalam dunia perfileman. Kedua, Witwisit Hiranyawongkul yang memegang watak Mew menyatakan bahawa antara dia dan Mario hanya sebagai kawan. Malah menurut kata Witwisit, sepanjang dia melakonkan babak berbicara dengan Mario, dia sebenarnya bercakap dengan kamera  dan begitu juga Mario. Mereka bukannya bercakap berdepan. Ketiga, adegan Witwisit menangis di pengakhiran cerita merupakan tangisan pelakon lelaki yang mengesankan yang pernah aku tonton dalam filem.
 
 
 

2 comments:

  1. satu filem yang menarik dan juga film review yg cantik, syabas

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thank you...Life is full of stories, maybe one of them is yours...:)

      Delete