Dreamers

Wednesday 7 August 2013

my name is...TURBO

Setiap kali menonton filem animasi terbitan studio Hollywood, kita bukan sahaja berpuas hati dengan jenaka yang disajikan melalui watak-watak dalam filem itu tetapi juga kita akan mendapat pengajaran tentang hidup serta rasa kagum kita terhadap kreativiti yang dipaparkan oleh keluarga produksi bagi menghasilkan filem yang hebat. Filem animasi terbaru keluaran DreamWorks Animation dan diterbitkan oleh 20th Century Fox ini membawakan tema komedi berunsurkan kesukanan. Sememangnya berbeza dari filem-filem animasi yang lain kerana idea yang diketengahkan sangat berbeza. Yalah, siapa menduga akan adanya sebuah filem yang menceritakan tentang impian seekor siput ingin menjadi seorang pelumba kereta. Hah! Bunyinya agak mustahil bukan. Namun, kisah yang dipaparkan melalui filem ini secara tidak disedari boleh diterima oleh khalayak penonton. Dalam erti kata lain, boleh layan lah...
Lain orang, lain minat mereka. Pada awal filem ini, kita diperkenalkan dengan watak Theo a.k.a Turbo, seekor siput kebun yang mempunyai minat terhadap kepantasan. Idolanya adalah pelumba kereta Guy Gagne yang telah memenangi 5 kali kejuaraan Indianapolis 500. Setiap malam Theo akan menonton aksi-aksi Gagne di litar dan dia berangan-angan untuk menjadi seperti Gagne.Kata-kata perangsang Gagne, "No dream is too small, and no dreamer is too small either" benar-benar memberi peransang dan semangat kepada Theo. Namun, angan-angan dan impiannya itu dianggap aneh dalam komuniti siput yang sememangnya bergerak perlahan. Kecanggungan Theo ini bukan sekadar tidak diterima oleh komuniti tetapi juga abangnya sendiri, Chet. Kejadian yang hampir-hampir mengundang padah kepada Theo telah membuatkan Chet meminta dia melupakan angan-angannya itu dan menumpukan kerja-kerja di kilang mengutip tomato. Sehinggalah satu kejadian yang tidak terduga berlaku. Ketika Theo sedang menikmati keindahan lalu lintas yang begitu sibuk, dia tiba-tiba disedut masuk ke dalam enjin sebuah kereta berkuasa tinggi yang sedang berlumba secara haram. Kesannya, sejenis bahan kimia nitrous oxide telah menukar DNA Theo sehingga membolehkan dia bergerak sepantas kelajuan kereta lumba.
 
 Keesokan harinya, Theo membuktikan bahawa dia benar-benar mempunyai kuasa kepantasan apabila dia mengelak berkali-kali dari dilanggar oleh seorang budak lelaki yang nakal dengan basikalnya. Namun, basikal budak lelaki itu akhirnya merempuh kebun tomato yang merupakan kilang di mana para siput bekerja. Akibatnya, Theo dan abangnya Chet telah dipecat. Chet kemudiannya telah disambar oleh seekor burung dan dilarikan agak jauh. Namun, Theo menggunakan kepantasannya untuk menyelamatkan Chet. Chet selamat tetapi mereka berdua akhirnya ditangkap oleh Tito, seorang penjual Taco ( sejenis makanan orang spanish ). Tito mempunyai hobi lumba siput. Theo dan Chet dimasukkan ke dalam arena perlumbaan siput dan mereka bertemu dengan beberapa siput lumba seperti Whiplash, Smoove Move, Burn, Skidmark, dan White Shadow. Di situlah, Tito dan rakan-rakannya yang terdiri daripada para pengusaha sebuah kawasan perniagaan berasa kagum dengan keajaiban yang dimiliki Theo.
 
Tito mendapat inspirasi untuk menggunakan Theo bagi memajukan kawasan perniagaan mereka. Theo memberikan isyarat kepada Tito bahawa dia ingin sekali menyertai perlumbaan kereta Indianapolis 500. Tito, setelah mendapat sokongan moral dan material daripada rakan-rakan perniagaannya, memasukkan Theo ke dalam perlumbaan tersebut dan dikenali sebagai Turbo. Meski pun pada awalnya, pengerusi perlumbaan tidak membenarkan Turbo menyertai pertandingan tersebut tetapi setelah Gerard meyakinkan pengerusi bahawa tiada syarat yang menyatakan bahawa siput tidak boleh bertanding dan atas desakan orang ramai, akhirnya Turbo dibenarkan menyertai perlumbaan tersebut.

Namun, pada malam perlumbaan tersebut Turbo mengenali hati budi sebenar idolanya iaitu Gerard. Ternyata, Gerard seorang yang gila nama serta gelaran juara serta bersikap angkuh. Pada malam itu, Gerard mengugut Turbo dengan melancarkan perang saraf. Namun, semangat Turbo sangat kental. Akhirnya, Turbo memasuki litar dengan perasaan yang bersemangat. Pada awalnya, Turbo agak ketinggalan tetapi kemudiannya dia memperbaiki persembahannya. Turbo berjaya mengungguli perlumbaan dan meninggalkan beberapa pesaing di belakang. Gerard sangat tidak senang dengan pencapaian Turbo. Gerard menolak Turbo ke bahagian litar yang penuh dengan serpihan dan sangat berbahaya jika berlumba di kawasan tersebut. Biar pun pada awalnya Turbo mengalami kesukaran tetapi dia tetap berjaya sehinggalah pada pusingan akhir, Turbo mendahului Gerard. Tanpa berfikir panjang, Gerard memasuki kawasan litar yang penuh dengan serpihan. Akibatnya, kereta Gerard terbabas dan perlumbaan terhenti selepas tiada kereta pun yang mampu melepasi keretanya.
 
Ketika perlumbaan terhenti, Turbo menyedari bahawa dia berada hanya beberapa meter sahaja dari garisan penamat. Namun, Turbo sudah kehilangan kuasa pantasnya akibat kemalangan tersebut. Menyedari bahawa dia sudah kehilangan kuasa maka Turbo berputus asa dan masuk ke dalam cengkerangnya. Saat itu, Chet yang kebetulan ditangkap oleh seorang budak, cuba memboloskan diri. Akhirnya, Chet berjaya menemui Turbo dan memberi kata perangsang supaya adiknya itu mengakhiri perlumbaan. Lantaran sokongan yang dipaparkan Chet, Turbo sedaya-upaya cuba untuk mengakhiri perlumbaan tersebut. Di waktu yang sama, Gerard menyedari impian dan usaha Turbo itu. Gerard juga berusaha menyeret keretanya ke garisan penamat. Akhirnya, Turbo berjaya mengakhiri perlumbaan tersebut dan bergelar juara. Setelah kemenangan itu, rakan-rakan Turbo menjadi popular dan perniagaan mereka kembali dikenali ramai serta mula mendapat kunjungan ramai pelanggan.
 
 
Filem Turbo ini benar-benar menghiburkan terutama watak-watak rakan Turbo. Jika inginkan sesuatu yang luar biasa, pergilah menonton filem ini. Babak yang paling aku sukai adalah kata-kata Gerard kepada Turbo pada malam sebelum perlumbaan. Katanya, " Ingatlah, mimpi akan musnah apabila kita tersedar. " Ayat itu sungguh menarik. Selain itu, aku sudah semestinyalah menyukai tuan empunya suara bagi watak Turbo. Siapa lagi kalau bukan Ryan Reynolds...Awwww...Jika nak ringankan beban di kepala, pergilah menonton filem animasi ini. Go go go...Turbo. hahaha....

No comments:

Post a Comment