Dreamers

Tuesday 23 April 2013

Kelahiran Yang Pertama...



zaman persekolahan adalah saat yang paling indah. Tak mungkin saat itu akan berulang kembali...
Aku jua pernah melalui zaman itu dan aku adalah seorang murid yang suka menyendiri. Namun, aku bersendiri bukan kerana aku tidak aku mempunyai kawan tetapi aku punyai dunia kehidupan yang berbeza. Pertama adalah dunia aku yang sebenar, manakala yang kedua adalah dunia fantasi. Aku bisa menjadi apa dan sesiapa saja dalam dunia aku itu. Lantas, aku gemar menulis. Aku jua gemar bercerita. Selama bersekolah, aku kerap menulis tetapi sekadar suka-suka. Sehinggalah tamat persekolahan, sementara menanti kerja singgah di sisi, aku menghantar karya pertamaku ke sebuah penerbitan yang aku sangat senangi. Akhirnya, lahirlah 'Luka Dilukai' dan perasaan aku saat itu benar-benar tidak dapat aku gambarkan.


 

Cintaku dalam penulisan berputik sejak aku kecil lagi, aku kira saat itu aku masih di bangku sekolah rendah. Aku minat menulis cerita dan drama ketika itu. Namun, keluargaku tidak pernah tahu tentang itu. Sehinggalah dunia menyaksikan kelahiran karya ku yang pertama 'Luka Dilukai' dalam majalah popular remaja ketika itu iaitu 'remaja' keluaran 1-15 Oktober 1994.

Mengenang saat itu, bisa buat aku senyum sendiri. Waktu itu aku belum bekerja, menanti permohonan ke maktab perguruan setelah gagal ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Aku masih ingat bagaimana aku meminta wang daripada bondaku untuk membeli majalah itu. Seperti selalu aku akan menaiki motosikal ke gerai tempat menjual surat khabar dan setibanya di rumah aku akan terus menyelak helaian majalah kegemaran ku saat itu. Pada hari tersebut aku menatap dan membaca beberapa baris ayat cerpen bulan itu. Ketika itu aku langsung tidak berasa apa-apa tetapi beberapa saat kemudian barulah aku sedar bahawa itu adalah karya aku. Hahaha...masih ingat bagaimana aku tidak percaya melihat nama pena ku tertera di bahagian atas majalah tersebut. Kemudian aku menjerit memberitahu seisi rumah, bonda dan kakandaku turut sama berkongsi kegembiraan tersebut.
 
 
 
 
 
 
Namun, karya pertama sememangnya banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Salah satu kelemahan itu adalah penulisan aku yang agak panjang. Pemilihan diksi juga agak berat, kadang-kadang perlu sedikit santai. Karya pertama ini juga mempunyai kecenderungan pengakhiran ayat yang berima. Ada ketikanya, corak penulisan begitu memberikan impak sedikit bosan. Aku jua akui, aku agak kurang baik dalam memilih diksi untuk menggambarkan perasaan dalam karya sulungku ini. Kesannya, pembaca kurang mendapat kepuasan.
 
 
Bertitik-tolak dari kelahiran pertama itu, mesin taip buruk kakandaku tidak lagi terbiar. Saban hari ada saja bunyi ketukan mesin taip itu mengisi ruang rumah. Hasil tulisan aku selalunya aku sembunyikan dan kakandaku secara diam-diam akan membacanya. :)...Hari demi hari, aku terus bekarya sehinggalah aku berhenti pada satu waktu yang panjang. Kini, aku kembali menebus masa nan terbuang itu. Aku nan bergelar saudagar mimpi...
 
 
 
 
...sInOpSiS...
 
Tyra, seorang gadis remaja nan mengalami konflik kekeluarga. Tyra sememangnya tidak pernah memiliki hubungan yang baik terhadap ayah dan ibunya serta Tyra bencikan kehidupannya yang dibelenggu kemiskinan. Tidak sanggup berhadapan dengan semua itu, Tyra nekad meninggalkan keluarganya lantas memulakan kehidupan sebagai gelandangan di kota metropolitan Kuala Lumpur. Namun, bakat memberi dia peluang untuk bekerja di salah sebuah gerai lukisan dan cenderahati. Di situ takdir telah menemukan dirinya dengan Sufian. Bibit-bibit pershabatan dengan pantas berubah menjadi cinta lalu akhirnya bersemi kasih di jinjang pelamin. Namun, hari tak selamanya cerah. Sufian, lelaki yang sempurna di matanya sebenarnya memiliki rahsia hidup yang sangat menyakitkan. Sufian adalah seorang penagih dadah dan selama Tyra bersamanya, dia dilayan tidak ubah seperti binatang. Akhirnya, mereka berpisah. Pengalaman itu mematangkan diri Tyra. Hatinya kemudian diketuk oleh seorang lelaki bernama Ismar. Namun, Tyra kini lebih berhati-hati dan lebih matang dalam membuat keputusan. Ibu Ismar dalam waktu yang sama tidak merestui hubungan anaknya dengan Tyra hanya kerana status janda. Biarpun begitu, Tyra sebenarnya menyayangi Ismar dan Ismar sememangnya mencintai Tyra seadanya. Namun, Tyra terpaksa melupakan segala hasrat mereka hanya kerana satu kenyataan. Kenyataan yang seumpama sebuah hukuman terhadap insan yang tidak bersalah. Mengapa Tyra menolak cinta Ismar ? Segalanya terjawab dalam cerpen 'Luka Dilukai'. Penamat yang sememangnya tidak dijangka.
 
Fakta menarik : Luka Dilukai adalah judul lagu penyanyi Shima yang agak popular sekitar 90an.
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment