Dreamers

Thursday, 2 May 2013

Ada Apa Dengan Cinta...


Entah kenapa tiba-tiba sahaja aku terpanggil untuk mencoretkan sesuatu di sini tentang filem cinta remaja Indonesia yang pernah menggegarkan panggung pada suatu ketika dulu. Aku benar-benar tertarik dengan jalan cerita dan olahan oleh pengarahnya. Malah, filem ini juga telah meraih banyak kontroversi kerana adegan kucupan antara Rangga dan Cinta.


2002, seketika dunia perfileman Indonesia digegarkan dengan kehadiran filem 'Ada Apa Dengan Cinta', sebuah filem cinta remaja hasil arahan Rudy Soedjarwo. Filem ini telah mencetuskan kontroversi gara-gara aksi cium antara Rangga ( Nicholas Saputra) dengan Cinta ( Dian Sastrowardoyo). Sebelumnya, tidak ada filem remaja Indonesia yang memaparkan aksi sedemikian di layar perak. Namun, bukan itu yang menarik diperkatakan tentang filem ini; sebaliknya adalah kreativiti pengarahnya memainkan tali penceritaannya, di mana beliau berjaya mengangkat satu karya yang sederhana pada satu hasil seni yang begitu tinggi.
 
Biar pun begitu, aku yakin bahawa kekuatan filem ini adalah terletak pada penampilan aktor Nicholas Saputra yang sememangnya dengan pantas berjaya mencuri hati gadis remaja serta khalayak penonton yang lain. Sepasang mata milik aktor ini seolah-olah bisa berbicara. Lantas, membuatkan penonton lebih mudah mendalami jiwa watak Rangga yang dimainkan olehnya. Aku percaya, jika ada aktor lain yang bisa berperan untuk watak itu, nescaya ianya tidak sebaik Nicholas Saputra. Filem ini juga menampilkan satu lagi nama besar dalam dunia perfileman Indonesia, Dian Sastrowardoyo. Kekuatan Dian jelas terlihat bila mana dia berjaya mempamerkan kepelbagaian emosi yang dilalui oleh watak Gadis. Lantaran, gandingan kedua-dua orang pelakon ini sememangnya sangat tepat.
 
 
Filem Ada Apa Dengan Cinta ini juga memberikan satu dimensi baru kepada dunia perfileman Indonesia apabila selepas itu, banyak filem genre cinta remaja dihasilkan termasuk Eiffel, Im in Love, My Heart dan Tentang Dia. Malah, pengarah filem Indonesia semakin berani menampilkan isu-isu yang lebih berat dihadapi remaja semasa seperti masalah kekeliruan identiti, pengambilan dadah, isu HIV dan bunuh diri.



Di samping, garapan yang baik, satu lagi kekuatan filem ini adalah terletak pada gubahan muziknya. Ternyata Melly Goeslow berjaya mewarnai filem ini melalui muzik dan lagu-lagunya. Lagu seperti Ada Apa Dengan Cinta itu sendiri, benar-benar menarik. Selain muzik, filem ini juga diselitkan dengan sajak yang sangat puitis. Sememangnya, persembahan filem Indonesia adalah penuh dengan keindahan berbahasa. Tidak seperti filem kita yang rata-rata menampilkan bahasa bersahaja.

Jika anda inginkan sebuah filem cinta remaja yang digarap dengan sempurna, inilah filemnya. Bagi tatapan semua hayatilah bait-bait kata dalam sajak 'Tentang Seseorang'.


kulari ke hutan
kemudian menyanyiku
kulari ke pantai
kemudian teriakku

sepi...
sepi dan sendiri
aku benci
aku ingin bingar
aku mahu di pasar
bosan aku dengan penat
enyah saja kau pekat
seperti berjelaga jika kusendiri

pecahkan saja gelasnya biar ramai
biar mengaduh sampai gaduh
ada malaikat menyulam jaring labah-labah belang
di tembok keraton putih
kenapa tak goyangkan saja locengnya biar terdera
atau harus aku lari ke hutan
belok ke pantai?



 

No comments:

Post a Comment